Rabu, 15 Julai 2009

RM8 bilion projek bekalan air rakyat siap 2014

UTUSAN ONLINE


JELEBU - Sebanyak RM8 bilion diperuntukkan bagi menampung kos pelaksanaan projek pembekalan air demi menjamin keperluan air bersih yang mencukupi untuk rakyat sehingga 2020.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, kos tersebut meliputi pelaksanaan 219 projek pembekalan air di seluruh negara yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2014.

"Buat masa ini, 40 projek daripada jumlah keseluruhan projek ini telah disiapkan dan ada juga yang sudah di peringkat penyudahan.

"Pelaksanaan projek-projek ini adalah bagi memastikan keperluan dan penggunaan air bersih rakyat di negara ini yang mencapai 18 juta liter sehari sentiasa mencukupi sehingga 2020," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak Projek Skim Bekalan Air Triang Fasa 1 di sini hari ini.

Menurut Fah Kui, keseluruhan kos pelaksanaan projek itu merupakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Mengulas status bekalan air di negara ini, beliau berkata, tiga kawasan telah dikenal pasti mempunyai sumber air yang tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan penduduk di kawasan terbabit.

"Antaranya Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. Ini kerana ketiga-tiga kawasan mempunyai permintaan bekalan air yang tinggi berbanding sumbernya.

"Buat masa ini bekalan air tambahan rakyat negeri Selangor diperoleh dari Pahang," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, RM398 juta diperuntukkan bagi menampung kos keseluruhan Projek Skim Bekalan Air Triang yang dilawatinya hari ini.

"Projek ini kini pada peringkat 50 peratus siap, kita jangkakan siap sepenuhnya menjelang Ogos tahun depan," katanya.

Tiada ulasan: