Ahad, 26 Julai 2009

Punca kematian Teoh

BERNAMA


KUALA LANGAT: Keputusan awal laporan bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat Teoh Beng Hock mendapati dia mati disebabkan pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari paras tinggi, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Khalid bagaimanapun berkata, polis belum menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kematian Teoh yang juga setiausaha politik Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Beliau berkata, dua ahli patologi, masing-masing seorang dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya mengendalikan bedah siasat mayat Teoh dan menjelaskan kerajaan Selangor diberi pilihan untuk mendapatkan ahli patologinya sendiri tetapi tiada yang datang.

“Laporan awal bedah siasat daripada ahli patologi menunjukkan Teoh setakat ini tidak mengalami kecederaan luaran.

“Bagaimanapun, kami akan tunggu laporan penuh daripada ahli patologi terbabit beberapa hari lagi. Buat masa ini, kematian Teoh disebabkan ‘pelbagai kecederaan akibat jatuh dari paras yang tinggi’,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Polis Komuniti dan Rakan Cop anjuran bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Persatuan Jaksa Pendamai di sini, semalam.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam kira-kira pukul 1.30 petang Khamis lalu selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh adalah seorang saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri membabitkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Exco Selangor.

Khalid berkata, berdasarkan laporan awal bedah siasatan itu, polis masih mengklasifikasikan kematian Teoh sebagai kematian mengejut.

“Ini hanya penemuan awal kami dan polis menyiasat kes ini daripada semua sudut,” katanya sambil menjelaskan bahawa polis sudah mengambil kenyataan daripada 23 saksi, termasuk 17 pegawai SPRM, tetapi tiada tangkapan dibuat.

Khalid berkata, polis juga menyiasat cara SPRM mengendalikan soal siasat dan mengambil rakaman kamera CCTV dari kawasan lif dan tempat letak kereta Plaza Masalam.

Beliau berkata, satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan, akan mengendalikan siasatan kes kematian Teoh.

Tiada ulasan: