Ahad, 26 Julai 2009

‘Program khas tingkat kesedaran gangguan seks’

Oleh Rohaniza Idris


KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mengarahkan semua pengetua dan guru besar menyediakan program khusus dalam usaha meningkatkan kesedaran pelajar mengenai gangguan seksual bagi menyekat perlakuan itu daripada berlaku di kawasan sekolah.

Sambil menegaskan kementerian memandang serius kes pencabulan, rogol dan gangguan seksual di kawasan sekolah, beliau berkata, program khusus itu termasuk ceramah dan kumpulan perbincangan, pameran serta poster memberi maklumat tepat mengenai gangguan seksual.

“Bagi mengelakkan gangguan seksual di sekolah, pengetua dan guru besar perlu bertindak sewajarnya kerana perlakuan ini menjejaskan martabat perguruan dan pendidikan,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Beliau mengulas kejadian terbaru, seorang guru lelaki didakwa mencabul dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Dungun, Terengganu, manakala Februari lalu, seorang guru didakwa di mahkamah kerana cuba mencabul dan merogol pelajar selain memiliki koleksi gambar lucah dalam telefon bimbit dan komputernya.

Mei lalu pula, Polis Sarawak mendedahkan kes rogol dan cabul di kalangan pelajar di negeri itu meningkat daripada hanya 75 kes pada 2007 dengan mangsa dan pesalah membabitkan pelajar berusia seawal lapan tahun.

Alimuddin juga meminta pengetua dan guru besar segera menyiasat jika menerima aduan pelajar mengenai gangguan seksual di sekolah selain bertindak jika ada perlakuan serta hubungan rapat yang mencurigakan di antara pelajar dan guru bagi menyekat perkara tidak diingini.

Ditanya sama ada kementerian mempunyai rancangan khusus menangani gangguan seksual di sekolah, beliau berkata, gejala sedemikian adalah kecil dan jumlah kes dilaporkan juga tidak membimbangkan, sekali gus lebih wajar ditangani melalui kempen kesedaran peringkat sekolah.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata kempen kesedaran untuk tujuan itu perlu disegerakan, manakala pengetua dan guru besar pula harus memantau perlakuan guru dengan pelajar.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, mahu tindakan tegas diambil terhadap guru yang terbabit dalam perlakuan sumbang atau apa saja bentuk gangguan seksual.

Tiada ulasan: