Sabtu, 25 Julai 2009

Pemuda Pas negeri sokong perkasakan bahasa Inggeris

SINAR HARIAN ONLINE


GOMBAK - Ketua Pemuda Pas negeri, Hasbullah Mohd Ridzwan menyambut baik cadangan Timbalan Per-dana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dengan memberikan penekanan bermula di peringkat pra sekolah.

Menurutnya, cadangan itu dialu-alukan pihaknya bagi memperkasakan dan memantapkan bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid yang baru memasuki alam persekolahan.

Katanya, bagaimanapun pihaknya meminta kerajaan akan mengutamakan kebaikan untuk rakyat dan cadangan tersebut bukan dibuat atas desakan politik dalam membentuk dasar pendidikan negara.

“Harapan kita dalam membentuk dasar pendidikan negara, kerajaan akan mengutamakan kebaikan untuk rakyat dan bukan dibuat kerana desakan politik,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Hasbullah yang juga Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) negeri berkata, sejak dari dulu lagi Pasti sentiasa komited dengan persekitaran pendidikan negara dan agama Islam dengan memberikan penekanan penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris dalam kurikulum serta ko kurikulum.

“Sebab itu kita memastikan kurikulum kita sentiasa menepati kehendak semasa dan tidak mengabaikan mana -mana aspek penting yang dapat melahirkan pelajar yang cemerlang di dunia dan akhirat termasuk penguasaan bahasa,” katanya ketika diminta mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya memastikan guru-guru di Pasti menguasai terlebih dahulu bahasa Inggeris sebelum berpeluang mengajar murid-murid demi melahirkan golongan yang mampu berdaya saing.

“Guru-guru yang mengajar adalah mereka yang terlatih dan sentiasa dilatih melalui latihan demi latihan dan kursus yang berterusan yang terdapat di Pasti,” katanya.

Tiada ulasan: