Jumaat, 24 Julai 2009

PAS Selangor desak tubuh suruhanjaya siasatan

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - PAS Selangor memandang serius insiden kematian Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri, mendiang Teoh Beng Hock semasa berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Khairuddin Othman berkata, PAS Selangor mendesak agar kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas yang dianggotai semua parti politik serta panel berkecuali dalam tempoh 14 hari daripada tarikh insiden.

PAS Selangor juga katanya, mendesak agar suruhanjaya tersebut mengeluarkan kertas putih dan umumkan kepada rakyat.

Menurut beliau, PAS Selangor berpendirian SPRM hanya boleh disiasat oleh suruhanjaya bebas yang lain kerana pihak polis tidak mempunyai bidang kuasa yang mencukupi untuk menyelesaikan kes tersebut.

Katanya, ini sekali gus bagi membersihkan nama SPRM kerana terikat pada peraturan yang diletakkan oleh Menteri Dalam Negeri.

PAS Selangor mendesak agar semua siasatan yang dilakukan terhadap mana-mana exco kerajaan negeri dihentikan serta merta sehingga suruhanjaya siasatan selesai melakukan siasatan dan SPRM membersihkan namanya.

"Peristiwa ini sangat memalukan SPRM dan menghilangkan kenyakinan rakyat terhadapnya terutama terhadap tahap keselamatan saksi semasa berada dalam tahanan," katanya.

Beliau menegaskan, jika suruhanjaya itu tidak dilakukan maka proses pengembalian keyakinan tidak berlaku, kredibiliti dan profesionalisme SPRM sebagai agensi penguatkuasa kerajaan akan terus dipertikaikan masyarakat.

Selangor turut mengucapkan takziah keapada keluarga dan sahabat mendiang di atas peristiwa yang sangat menyedihkan itu, katanya.

Semoga pihak yang terlibat dapat bersabar di atas kehilangan tragis orang yang disayangi, katanya.

Khairuddin mewakili Pesuruhjaya PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali yang kini berada di Timur Tengah atas urusan kerajaan negeri. - lanh _

Tiada ulasan: