Khamis, 16 Julai 2009

MB arah JAS, MPN siasat

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL


SEREMBAN - Mencemarkan alam sekitar dan sungai adalah perbuatan yang melampau, kata Datuk Seri Mohamad Hasan di sini hari ini.

Menteri Besar berkata, dalang yang melakukan jenayah itu tidak akan diberi muka, sebaliknya tindakan mahkamah adalah tempat paling wajar untuk golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

''Saya sudah berbincang dengan serius pada mesyuarat Exco hari ini dan kita amat kecewa dengan apa yang berlaku di Sungai Nilai dan Sungai Labu sehingga menyebabkan ia begitu tercemar dengan teruk,'' kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) bertindak tegas terhadap dalang yang mencemarkan alam sekitar ini dan memastikan mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

''Kita telah maklumkan banyak kali. Kita telah berikan begitu banyak surat amaran. Nampaknya mereka terus berdegil mencemarkan alam sekitar serta sungai di negeri ini.

''Kerajaan tidak boleh berkompromi kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini,'' tegas beliau.

Mohamad nyata kecewa dengan perkembangan itu mahu JAS dan MPN memantau secara dekat setiap pencemaran yang dilakukan oleh pengilang di kawasan Nilai sehingga ada yang melepaskan bahan kimia ke dalam sungai.

''Memang kita tidak boleh mengambil tindakan segera ketika ia berlaku kerana banyak contoh pencemaran, gambar dan sebagainya diambil untuk ujian makmal sebelum tindakan undang-undang dikenakan.

''Tetapi saya beri amaran kepada pengilang, jangan sesekali cuba mencemarkan sungai di negeri ini,'' kata beliau.

Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan loji pembersihan Air Salak Tinggi dekat Nilai terpaksa dihentikan operasinya berikutan pencemaran ammonia di Sungai Labu.

Selain mencatatkan kandungan ammonia yang terlalu tinggi, air sungai terbabit juga menghasilkan buih kerana mengandungi bahan kimia serta mengeluarkan bau yang busuk.

Apa yang menjijikkan air di sungai berkenaan berwarna hitam dan kotor mengalir dari Sungai Nilai ke Sungai Labu di persimpangan dua sungai berhampiran Kampung Tanjung dekat Nilai.

Mohamad turut mendedahkan terdapat pengilang di negeri ini melepaskan bahan toksik dan kimia ke dalam sungai ketika hujan lebat.

''Kita sudah kenal pasti kilang dan individu terbabit. Apabila kita ada cukup bukti, suspek ini tidak akan terlepas,'' kata beliau yang enggan mendedahkan kilang yang terbabit.

Beliau menjelaskan, golongan yang mencari jalan mudah ini akan kita pastikan mereka menerima hukuman setimpal dengan perbuatan yang dilakukan.

Tiada ulasan: