Rabu, 1 Julai 2009

Biasiswa ‘Merit’ Mesti Sama Rata Kepada Semua Bidang Pengajian

Written by Wartawan Buletin


KUALA TERENGGANU - PAS mengalu-alukan langkah kerajaan bercadang memberikan biasiswa kepada pelajar semata-mata berdasarkan merit, tetapi tetap mencadangkan pendidikan percuma bagi semua pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi.

Merujuk kepada kenyataa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak berkenaan perkara tersebut, Pengerusi Lujnah Pelajaran, Dato' Ustaz Abu Bakar Chik berkata, kerajaan mesti melaksanakan perkara tersebut berdasarkan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

”Apa pun skim atau program biasiswa yang di cadangkan tidak boleh melampaui artikel 153, atau sebaliknya perlembagaan perlu dipinda,” katanya ketika ditemui semalam.

Melihat kepada ‘meritokrasi’ yang telah diamalkan oleh kerajaan sebelum ini, beliau berkata, dasar tersebut hanya menguntungkan kumpulan tertentu dan bukan untuk semua orang Melayu atau Bumiputera.

Katanya, ‘meritokrasi’ yang diberikan keutamaan oleh Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ketika melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya memperuntukkan keistimewaan untuk ahli-ahli UMNO sahaja.

”Kami, daripada PAS, walaupun adalah orang Melayu, telah menjadi mangsa diskriminasi kerana dasar tersebut, ia (meritokrasi) adalah hanya untuk UMNO,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ustaz Abu Bakar berkata biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu diberikan sama rata kepada semua bidang pengajian, termasuk kepada pelajar pengajian Arab dan Islam.

”Ia (aliran Arab/ Islam) adalah system pendidikan asal yang telah wujud sejak sebelum Negara mencapai kemerdekaan,

”aliran tersebut juga telah menjana ‘modal insan’ para pejuang, guru dan pegawai yang telah menyumbang kepada pembangunan negara,” tambahnya.

Tiada ulasan: