Rabu, 4 Mac 2009

Umno bakal pertubuhan haram?

Suara KeADILan Online


KUALA LUMPUR : Umno mungkin sekali lagi diisytiharkan sebuah pertubuhan haram jika sekumpulan ahli parti meneruskan hasrat mereka mendapatkan perintah mahkamah menghalang pemilihan Umno 24 Mac ini atas kegagalan parti itu bertindak memerangi rasuah politik dalaman.

Kemungkinan situasi sedemikian berlaku dicetuskan oleh dua tokoh veteran Umno, Mazlan Harun dan Kadar Ninam Shah yang mengugut untuk mendapatkan perintah itu berikutan kegagalan kepimpinan parti bertindak ke atas lebih 1,000 aduan sogokan wang membabitkan pemimoin dan perwakilan Umno pelbagai peringkat.

Tindakan mereka boleh membawa kepada apa yang berlaku pada tahun 1988 apabila 11 ahli Umno memohon kepada mahkamah untuk membatalkan keputusan pemilihan parti kerana disertai oleh perwakilan tidak sah.

Hakim kes itu bagaimanapun mengisytiharkan seluruh parti itu sebagai pertubuhan tidak sah, memaksa Umno dibubarkan.

Tindakan Mazlan, anak bekas Menteri Besar Selangor dan Datuk Kadar, anak bekas pengerusi tetap Umno, Sulaiman Ninam Shah, kini memungkinkan Umno Baru menerima nasib sama.

Pada sidang media bersama, Mazlan dan Kadar mendesak pucuk pimpinan dan Jawatankuasa Disiplin Umno menangani segala aduan rasuah dan politik wang secara berkesan sebelum Perhimpunan Agung bermula.

“Kami tidak akan teragak-agak bertindak termasuk kemungkinan mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang atau menangguhkan mesyuarat pemilihan agung jika pihak yang terbabit masih enggan atau tidak dapat menyelesaikan masalah aduan rasuah yang telah dibuat oleh ahli parti sendiri,” kata Mazlan.

Mazlan berkata, mereka berdua serta kebanyakan ahli Umno di akar umbi parti kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Abdullah Badawi bahawa jawatankuasa disiplin parti tidak perlu lagi menyiasat atau mengambil tindakan terhadap 45 daripada 90 aduan rasuah politik membabitkan pemimpin Umno.

Mazlan berkata kegagalan parti bertindak ke atas lebih 1,000 aduan rasuah politik “membayangkan pemimpin-pemimpin Umno tiada kekuatan semangat politik untuk membersihkan amalan rasuah yang semakin berleluasa di kalangan ahli serta pemimpin parti itu sendiri.”

“Sehubungan itu, adalah perlu bagi kami memilih jalan mendapatkan perintah injuksi dari mahkamah untuk menangguhkan dulu mesyuarat pemilihan agung Mac ini,” jika keadaan ini berterusan, kata Mazlan.

Kadar berkata langkah mendapatkan injuksi mahkamah adalah untuk mempertahankan kewibawaan Umno yang semakin hilang kepercayaan rakyat.

Menurutnya, mereka telah membuat laporan kepada Badan Pecegah Rasuah, pada 5 Ogos 2008 dan sebulan selepas itu berserta bukti rakaman video serta dokumentasi yang mengaitkan pemimpin tertentu Umno kepada rasuah politik.

Agensi itu yang kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah tidak mengambil sebarang tindakan. Sebaliknya Perdana Menteri mengumumkan semua kes rasuah Umno diperlu disiastutup dan tidak perlu membuka kes rasuah pemimpin parti sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan membabitkan kesungguhan pemimpin tertinggi parti menangani masalah rasuah di dalam Umno.

Tiada ulasan: