Isnin, 23 Mac 2009

Tiga syarikat Eropah sertai projek bersih Sungai Klang

SINAR HARIAN


KLANG – Sebanyak tiga syarikat dari Eropah berminat untuk menyertai dan melaksanakan Projek Pembersihan Sungai Klang, iaitu salah satu daripada projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan kerajaan negeri, baru-baru ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau tidak akan mengumumkan nama-nama syarikat itu kerana ia masih dalam peringkat perbincangan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang mengadakan perbincangan dengan Singapura berkenaan pengurusan projek pembersihan sungai dan ia masih belum menyentuh secara mendalam tetapi kerajaan negeri sudah mempunyai beberapa idea.

“Setakat ini, masih tiada syarikat tempatan yang menunjukkan minat, boleh jadi mereka sedang menjalankan kajian. Tetapi dalam usaha mempertingkatkan pengurusan rakyat Malaysia dalam pembersihan sungai, kita akan mengambil kira supaya ada sumbangan atau perkhidmatan daripada syarikat-syarikat Malaysia.

“Sungai Klang adalah projek pertama, ada banyak lagi sungai lain. Kalau kita dapat selesaikan projek ini, sudah tentu kepakaran itu berada di negeri kita dan kita boleh selesaikan di sungai-sungai seperti Sungai Langat dan juga Sungai Selangor yang juga perlu dibersihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Pembinaan Bilik Darjah Tambahan, di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Highlands, di sini, semalam.

Tiada ulasan: