Jumaat, 6 Mac 2009

Sivakumar saman Penasihat Undang-undang Negeri Perak

BERNAMA
[DIKEMAS KINI 6 PETANG]


KUALA LUMPUR: Satu lagi tindakan undang-undang difailkan berhubung kemelut politik di Perak.

Kali ini Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar memfailkan saman terhadap Penasihat Undang-Undang Negeri Perak.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan Tommy Thomas di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil pukul 3.40 petang hari ini.

Sivakumar mahu mahkamah mengisytiharkan antaranya bahawa Penasihat Undangundang Negeri Perak, yang namanya tidak dinyatakan dalam writ saman, telah bertindak tanpa kuasa apabila defendan mewakili beliau semasa permohonan injunksi dalam prosiding pertama dalam kamar hakim pada Selasa lepas dan semalam.

Sivakumar juga menuntut deklarasi bahawa defendan telah bertindak secara cuai dan memungkiri tugasnya sehingga menyebabkan injunksi itu dibenarkan terhadap beliau dalam prosiding pertama itu.

Speaker DUN Perak itu juga mahu perintah deklarasi bahawa defendan telah memungkiri kewajipan fidusiarinya kepada beliau apabila mewakilkan dirinya sebagai peguam untuk pendengaran permohonan injunksi itu.

Di dalam pernyataan tuntutannya, Sivakumar memohon deklarasi bahawa perintah injunksi yang berikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim dalam prosiding pertama adalah palsu, batal dan tidak sah.

Beliau meminta ganti rugi am, ganti rugi tambahan, ganti rugi teladan, faedah, kos tindakan dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sivakumar mendakwa sebagai Speaker DUN Perak yang dilantik selaras dengan Artikel 36(A) Perlembagaan Negeri Perak, beliau adalah ketua badan perundangan kerajaan di Perak.

Sivakumar mendakwa defendan merupakan Penasihat Undang-undang kepada badan eksekutif kerajaan Negeri Perak pimpinan kerajaan Barisan Nasional sejak 5 Feb lepas yang bercanggah dengan kepentingan beliau yang bukannya seorang anggota Barisan Nasional.

Akibatnya, Sivakumar menegaskan bahawa sejak 5 Feb lepas, defendan tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk melindungi dan mengekalkan kepentingan beliau.

Secara alternatifnya, Sivakumar mendakwa defendan berada dalam keadaan konflik di antara kepentingan peribadinya dalam mempromosikan keperluan majikannya dan kewajipannya kepada beliau.

Sivakumar juga mendakwa beliau tidak pernah melantik defendan sebagai penasihat undang-undangnya dan tidak pernah berunding atau berkomunikasi dengannya.

Pada Selasa lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan bantahan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bahawa Sivakumar tidak boleh diwakili oleh peguam sebaliknya memutuskan bahawa Sivakumar hendaklah diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri Perak.

Sivakumar mendakwa selepas keputusan itu diumumkan pada pukul 10.30 pagi Selasa lepas, peguam yang mewakilinya telah berundur daripada kamar pesuruhjaya kehakiman itu.

Beliau mendakwa berdasarkan laporan media, prosiding dalam kamar diteruskan tanpa kehadiran peguam Sivakumar untuk mendengar dan seterusnya membenarkan permohonan injunksi yang difailkan oleh Dr. Zambry untuk menghalang Sivakumar daripada meneruskan sebarang persidangan DUN.

Sementara itu di IPOH, kumpulan peguam yang mewakili Sivakumar hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang tidak membenarkan Sivakumar diwakili oleh peguam yang dilantiknya sendiri.

Peguam Leong Cheok Keng berkata notis rayuan berkenaan difailkan serentak hari ini di Mahkamah Tinggi di sini dan juga di Mahkamah Rayuan di Putrajaya oleh peguam Philip Koh.

"Speaker telah dinafikan hak untuk memilih peguamnya sendiri dan saya fikir ia adalah satu perkara cukup serius bagi Mahkamah Rayuan untuk menimbangkannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan Sivakumar hanya boleh diwakili oleh Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri dan bukannya peguam swasta dalam permohonan bagi mengisytiharkan sebagai tidak sah dua keputusan beliau yang melibatkan Menteri Besar Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, enam anggota exco dan tiga wakil rakyat Bebas.

Zambry dan enam anggota Exconya memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang mereka daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri antara 12 bulan dan 18 bulan sebagai tidak sah dan terbatal manakala ketiga-tiga Anggota Dewan Undangan Negeri iaitu Jamaluddin Md Radzi (Behrang), Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi masing-masing tidak kosong dan mereka masih wakil rakyat yang sah.

Sementara itu, polis memanggil Sivakumar ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pagi tadi bagi memberi keterangan berhubung laporan terhadapnya bersabit tindakan beliau menggantung dan melarang Dr Zambry dan barisan exconya daripada menghadiri sidang DUN Perak.

Bagaimanapun hanya peguam Sivakumar iaitu Anggota Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran dan Anthony Augustin yang hadir bagi memaklumkan ketidakhadiran Speaker itu yang dikatakan kini sedang bercuti di luar Perak.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah memanggil Sivakumar untuk memberi keterangan berhubung tindakannya menggantung Zambry selama 18 bulan dan enam exconya selama 12 bulan daripada menghadiri sidang DUN Perak pada 18 Februari lepas.

Tiada ulasan: