Ahad, 15 Mac 2009

RM10 bilion bagi pembangunan semula Klang, PJ dan Kajang

BERNAMA


KLANG: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM10 bilion untuk menaik taraf dan pembangunan semula tiga bandar di negeri itu iaitu Klang, Petaling Jaya dan Kajang dalam tempoh tujuh tahun.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kos yang diperuntukkan itu munasabah bagi pembangunan ketiga-tiga bandar berkenaan kerana sebelum ini, program pembangunan semula bandar Damansara menelan kos lebih RM3 bilion.

Beliau berkata, program pembangunan semula itu adalah satu daripada pakej rangsangan kerajaan negeri yang merancang untuk memperbaharui wajah tiga bandar berkenaan yang dilihat masih tidak mempunyai ciri tersendiri.

"Seperti Klang (yang dibangunkan lebih 50 tahun lalu), malangnya masih tiada ciri seperti Kuala Lumpur yang mempunyai Menara Berkembar," katanya dan menurutnya program pembangunan semula itu akan bermula tahun ini.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar Merakyatkan Ekonomi Selangor di sini ,hari ini, Menteri Besar berkata, sebaik sahaja program pembangunan semula itu dilaksanakan, ia akan turut merangsang pertumbuhan ekonomi.

Mengenai sama ada kerajaan negeri akan membeli terminal bas baru, Klang Sentral, seperti dicadangkan pemajunya, NPO Sdn Bhd, Abdul Khalid berkata, buat masa ini kerajaan negeri tiada perancangan untuk berbuat demikian.

"Kita akan bincang dulu," katanya.

Dalam laporan akhbar "The Star" hari ini, pengarah NPO Sdn Bhd Charmaine Lim, berkata syarikat itu sudah menyerahkan kertas cadangan supaya kerajaan negeri membeli terminal bas baru itu dan perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan.

Pemindahan operasi bas dari bandar Klang ke Terminal Klang Sentral, JalanMeru, di sini, menimbulkan kontroversi apabila mendapat bantahan daripada beberapa syarikat bas dan peniaga yang mendakwa pemindahan operasi menjejaskan perniagaan dan operasi mereka.

Tiada ulasan: