Rabu, 18 Mac 2009

PM jumpa Ali Rustam hari ini

UTUSAN ONLINE


SUBANG - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan bertemu dengan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam esok ( 18 Mac ) berhubung keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarang beliau bertanding pada pemilihan parti minggu depan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah, Perak, Datuk Mohd. Yusoff Kassim selepas beliau dan kira-kira 150 penyokong Ketua Menteri Melaka itu mengadakan pertemuan ringkas dengan Perdana Menteri di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini malam ini.

Abdullah dan delegasi Malaysia tiba dari Jakarta kira-kira pukul 10.30 malam selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Mohd. Yusoff bagaimanapun tidak memberitahu di mana pertemuan itu akan berlangsung.

Menurutnya, pada pertemuan itu beliau dan penyokong Ali Rustam merayu Perdana Menteri mempertimbangkan semula keputusan Lembaga Disiplin itu.

''Keputusan ini sepatutnya dirujuk ke Majlis Tertinggi terlebih dahulu sebelum diumumkan. Keputusan ini juga tidak adil,'' katanya.

Penyokong-penyokong yang berkumpul di pangkalan TUDM itu terdiri daripada ketua bahagian dan naib ketua bahagian UMNO dari Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Tiada ulasan: