Jumaat, 20 Mac 2009

Adnan: 'Tajuddin perlu letak jawatan bukan saya'

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri hanya kerana desakan daripada Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman semalam.

Jelas Adnan, beliau akan hanya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang "jika Tajuddin menjadi Presiden Umno."

"Esok Tajuddin jadi Presiden, lusa saya letak jawatan kerana yang melantik Pengerusi Badan Perhubungan Negeri ialah Presiden parti.

“Kalau ikut logik Ahmad Tajuddin, ramai Pengerusi Badang Perhubungan Umno kena letak jawatan sebab yang dikenakan tindakan, bukan ahli Umno dari Pahang sahaja, ramai juga ahli Umno dari negeri lain yang kena,” katanya dalam satu kenyataan yang diemel kepada mStar Online hari ini.

Semalam, Ahmad Tajuddin, menggesa agar Adnan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan negeri sebagai tanggungjawab di atas keputusan Lembaga Disiplin parti yang mendapati empat wakil rakyat Umno dari bahagian itu bersalah melanggar Perlembagaan parti dan Tata Etika Ahli.

Selasa lalu, Lembaga Disiplin Umno memutuskan Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail digantung selama setahun, Ketua Pemuda Maran Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi digantung keanggotaan selama tiga tahun manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Paya Besar Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, Naib Ketua Umno Bahagian Paya Besar Mohd Shohaimi Jusoh dan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Paya Besar Mohd Zaili Besar diberikan amaran.

Tegas Adnan, Ahmad Tajuddin sepatutnya meletakkan jawatan ketua bahagian sebab dia tidak boleh menguruskan Umno Bahagian Paya Besar dengan baik.

Bagaimanapun Adnan yang juga Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Pelangai berkata, beliau tidak bercadang melayan kenyataan Ahmad Tajuddin yang mendesaknya meletakkan jawatan namun beliau terpaksa berbuat demikian.

Tiada ulasan: