Sabtu, 2 Oktober 2021

SPRM buka 687 kertas siasatan Januari - Ogos

BH ONLINE

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 687 kertas siasatan dalam tempoh antara Januari dan Ogos lalu, yang terdiri daripada 149 membabitkan kategori kes 'berprofil tinggi, berkepentingan awam, serta sensitif ' dan 538 dalam kategori biasa.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata 660 individu ditangkap dalam tempoh berkenaan, manakala jumlah pertuduhan pula membabitkan 347 individu, semuanya dari pelbagai latar belakang termasuk pegawai tinggi kerajaan dan ahli perniagaan.

Beliau berkata SPRM terus melaksanakan operasi, tangkapan dan pertuduhan di mahkamah meskipun ketika pelaksanaan sekatan pergerakan dalam negara bagi menyekat penularan pandemik COVID-19.

"Dengan tindakan-tindakan operasi yang konsisten, sistematik, dan berimpak tinggi, saya percaya kita mampu mewujudkan satu suasana 'deterrent' dan perasuah-perasuah akan lebih gentar untuk terlibat dalam gejala rasuah dan salah guna kuasa.

"Amat penting untuk kita hantar satu mesej yang kuat dan jelas kepada perasuah-perasuah bahawa kita tidak akan sama sekali berkompromi dan bertoleransi dengan perbuatan keji yang boleh menghancurkan kemakmuran negara," katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-54, di sini hari ini.

Azam berkata usaha memperkasa SPRM dari aspek pembangunan kapasiti dan keupayaan perlu berjalan secara berterusan dengan sokongan penuh oleh kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia.

"Ini bagi membolehkan SPRM mampu mencapai visinya untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah serta menjadi agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia," katanya.

Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-54 dengan tema "Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi" kali ini dilaksanakan secara sederhana bagi mematuhi prosedur operasi standard kesihatan dan keselamatan serta mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara. – BERNAMA

Tiada ulasan: