ALOR SETAR: Mangsa banjir di Baling bertambah apabila 27 mangsa dari enam keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Banggol Derom, hari ini.
Sebelum ini, jumlah mangsa banjir di PPS itu 17 orang dari empat keluarga. Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat pada jam 8 pagi tadi iaitu seramai 380 mangsa dari 131 keluarga di Sik, Baling dan Kulim.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof, berkata jumlah itu kembali menurun dan tiga PPS di dua daerah itu ditutup sepenuhnya hari ini.
"Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Baling semakin bertambah sehingga malam ini," katanya.
Beliau berkata, semua mangsa banjir di Sik iaitu di PPS Gulau dan SK Sik serta PPS SK Merbau Pulas di Kulim dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.
"Sehingga jam 8 malam tadi, jumlah keseluruhan mangsa banjir di 14 PPS di Baling masih aktif yang membabitkan 352 mangsa 121 keluarga di daerah itu.
"Semua mangsa banjir di Baling masih kekal di PPS SK Tunku Putera (3 mangsa, satu keluarga), PPS Siong (28 mangsa, 11 keluarga), PPS SK Bandar (9 mangsa, 4 keluarga), SK Tanjung Pari (23 mangsa, lapan keluarga), PPS SK Bayu (25 mangsa, 12 keluarga).
"Selain Itu, PPS Titi Gantung menempatkan seramai 44 mangsa dari 11 keluarga, PPS Dewan Banggol Derom (44 mangsa dari 10 keluarga), PPS Maktab Mahmud Baling (31 mangsa dari 19 keluarga), SK Malau (17 mangsa dari enam keluarga),
"PPS SMK Parit Panjang (19 mangsa dari tujuh keluarga), PPS SK Mohd Ariff Abdullah (39 mangsa dari 10 keluarga), PPS Surau Barakah Tembak B (10 mangsa, dua keluarga) dan PPS Kampung Padang, Kupang (sembilan mangsa dari empat keluarga), PPS SK Tembak A (30 mangsa dari 8 keluarga) dan PPS Kampung Jemerli (dua mangsa)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan