Sabtu, 30 Oktober 2021

SPRM pantau PRN Melaka

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan anggota di lapangan bagi memantau proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad, berkata satu pasukan sudah dibentuk bagi tujuan itu yang akan menumpukan pemantauan terhadap proses penamaan calon, kempen dan hari pengundian.

"Dalam tempoh pilihan raya ini, ia tertumpu kepada pemantauan dari segi kawalan dan pencegahan rasuah yang membabitkan elemen-elemen rasuah atau guna kuasa ketika di lapangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pembudayaan Integriti-Hijaukan Bumi SPRM dan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November, penamaan calon pada 8 November, manakala undi awal pada 16 November ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

BN melakukan persiapan dengan menubuhkan bilik gerakan menjelang PRN Melaka ketika tinjauan di Telok Mas. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad
BN melakukan persiapan dengan menubuhkan bilik gerakan 
menjelang PRN Melaka ketika tinjauan di Telok Mas. - Foto 
NSTP/Syafeeq Ahmad

Tiada ulasan: