PONTIAN – Bermula dengan hanya meminjam mesin jahit peninggalan arwah nenek suaminya, kini Siti Armah Md. Shahri, 47, dianggap sebagai usahawan jahitan yang berjaya apabila hasil jualannya semakin mendapat sambutan.
Pada mulanya, anak kelahiran Pontian, Johor itu memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sejak 12 tahun lalu dengan mengambil upah tempahan pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak untuk menambah pendapatan sampingan.
Siti Armah yang sebelum ini hanya menggunakan mesin jahitan hadiah peninggalan arwah nenek suaminya, mula menghasilkan reka bentuk pakaian sendiri untuk dijual di kedai pakaian berhampiran rumahnya.
“Saya tidak menyangka hasil titik peluh saya pergi dari satu kedai ke satu kedai untuk menjual reka bentuk sendiri dan menawarkan tempahan jahitan mampu memperkenalkan jenama pakaian sendiri di mata masyarakat.
“Alhamdullillah, saya kini mempunyai enam pekerja, belasan mesin jahitan dan sebuah kedai termasuk turut mengambil tempahan pelanggan dari luar negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, sejak jenamanya mula dikenali, hampir setiap minggu dia menerima permintaan orang ramai, malah mendapat tempahan untuk pakaian hospital di sekitar daerah ini.
Selain itu, Siti Armah juga pernah menghasilkan pakaian untuk golongan artis terkenal antaranya Lisdawati dan Erra Fazira yang masing-masing berpuas hati dengan kualiti dan kekemasan jahitannya.
“Saya sentiasa mementingkan kualiti dan kepuasan pelanggan kerana mereka adalah sumber rezeki saya selama ini.
“Di samping itu, pelbagai kursus, bengkel dan latihan anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang disertai, banyak meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya sebagai sahabat AIM, katanya, pinjaman dilakukan membolehkannya mengembangkan lagi peniagaan menerusi pembelian beberapa mesin jahitan yang dapat melicinkan usaha untuk menghasilkan kuantiti tempahan dalam kuantiti yang lebih banyak.
“Pinjaman diberikan AIM sejak 2009 membolehkan saya mengambil tempahan dengan banyak khususnya pada sambutan perayaan dan mengambil tender daripada syarikat kerajaan dan swasta.
“Walaupun terpaksa berdepan dengan keadaan ekonomi yang sangat mencabar ketika ini, AIM banyak membantu dalam memberi nasihat dan ilmu serta memastikan perniagaan saya kekal relevan pada masa akan datang,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan pakaian, boleh menghubungi Siti Armah di talian 013-7608384. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan