Kementerian pandang serius situasi harga barangan tak terkawal
PUTRAJAYA – Peniaga yang menaikkan harga barangan jualan tanpa mematuhi perundangan pencatutan boleh didakwa melakukan kesalahan mencatut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya memandang serius situasi harga barangan keperluan pengguna yang tidak terkawal, termasuk minyak masak botol di pasaran kerana ianya penyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat.
“Ketetapan tindakan terhadap kenaikan harga barangan terlalu tinggi ini juga terpakai kepada minyak masak botol yang ada di pasaran,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nanta berkata demikian susulan laporan media yang mendakwa harga minyak masak dalam botol bersaiz lima kilogram (kg) naik mendadak sejak Januari lepas iaitu dalam lingkungan RM28 hingga RM34 berbanding RM25 hingga RM27 pada tahun lepas.
Beliau berkata kenaikan harga barangan yang terlalu tinggi atau tidak terkawal adalah asas kepada suatu tindakan pemeriksaan dilaksanakan dan analisis pencatutan akan dilaksana selepas menerima maklum balas notis daripada peniaga.
“Justeru itu, KPDNHEP boleh melaksanakan tindakan berhubung harga minyak masak di bawah perundangan AKHAP 2011 melalui perundangan pencatutan.
“Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan atau syarikat dan bagi bukan perbadanan atau individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mengulas lanjut, Nanta berkata rekod aduan berhubung minyak masak botol yang dijual pada harga tinggi menunjukkan trend penurunan.
“Sejak Januari lepas, 16 aduan diterima kemudian telah menurun pada Februari iaitu hanya tiga aduan dan pada Mac, sejumlah lima aduan sahaja diterima manakala bulan ini pula tiada sebarang aduan diterima tentang harga tinggi untuk minyak masak botol.
“Ini seiring dengan data kutipan harga minyak masak (jenis tulen) botol lima kg yang menunjukkan harga terendah ada dijual di pasaran pada RM21.50 dan tertinggi RM30.00,” katanya.
Beliau berkata minyak masak botol tidak diberikan subsidi dan akan dijual mengikut harga pasaran berdasarkan mekanisme pengapungan harga.
Nanta berkata harga pasaran minyak masak ditentukan oleh harga minyak sawit mentah dunia dan kos lain yang menyumbang kepada penentuan harga runcit minyak masak botol seperti kos operasi, kos bahan mentah dan kos pembungkusan.
“Berdasarkan data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia, harga minyak sawit mentah mengalami kejatuhan yang ketara bermula pada bulan Februari 2020 hingga Mei 2020.
“Namun harga minyak sawit mentah dunia kembali meningkat bermula Jun tahun lepas iaitu dalam lingkungan RM1,000/metrik tan (mt) dan kini melepasi RM4,000/mt,” katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, minyak mentah dunia semakin agresif menunjukkan peningkatan sehingga mencapai RM4,153/mt dan peningkatan harga minyak mentah dunia boleh memberi kesan kepada harga runcit minyak masak botol.
“Wajar dan munasabah situasi perubahan harga minyak mentah dunia ini memberi kesan kepada perubahan harga runcit minyak masak botol yang dijual di pasaran.
“Justeru itu, rakyat perlu memahami senario yang berlaku dalam menentukan perubahan harga pada barang keperluan seperti minyak masak botol,” katanya.
Nanta juga berkata di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak, kerajaan memberikan subsidi untuk minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kg sahaja dan ia adalah relevan dengan kiraan nisbah penggunaan minyak masak bagi tujuan kegunaan isi rumah iaitu satu penduduk bersamaan dengan 1.5 kg untuk kegunaan sebulan.
“Sehubungan itu, sebagai kerajaan yang prihatin, program pemberian subsidi terhadap minyak masak dalam polibeg satu kg tetap diteruskan bagi memastikan rakyat terus dapat menikmati bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah pada harga mampu milik iaitu RM2.50.
“Pengguna diberi pilihan untuk memilih minyak masak bersubsidi satu kg yang juga berkualiti atau memilih minyak masak botol yang ada dijual dalam pelbagai berat dan harga,” katanya.
Beliau berkata setiap bulan sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak satu kg bersubsidi diedarkan di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dan jumlah pengeluaran serta pengedaran ini adalah mencukupi bagi kegunaan 32.7 juta rakyat Malaysia. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan