Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (dua kanan) mengedarkan papan
tanda larangan merokok kepada seorang pekerja kedai makan pada
Walkabout Tempat Larangan Merokok di Bandar Sri Permaisuri, Cheras,
Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan larangan merokok di semua tempat makan
yang bermula hari ini akan diperluaskan ke premis perniagaan seperti
kedai dobi.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad,
premis-premis seperti ini turut melibatkan perokok pasif yang akan
mendedahkan risiko penyakit kepada rakyat terutamanya kanak-kanak.
“Dobi juga adalah tempat mana ada yang merokok dan mendedahkan asap
rokok pasif kepada anak-anak yang ada disitu. Kami akan menambah premis
larangan merokok dari masa ke semasa,” katanya semasa membuat tinjauan
dalam program ‘Walkabout promosi tempat makan sebagai kawasan larangan
merokok’ hari ini.
Dalam tinjauan lebih sejam itu, beliau turut dilihat meninjau di
lebih 5 restoren makanan dalam memastikan premis makanan itu bebas asap
rokok.
Menurut beliau lagi, penguatkuasa itu bermula dengan pendekatan
mendidik rakyat supaya mematuhi larangan merokok sebelum ia
dikuatkuasakan sepenuhnya kelak. Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad beramah mesra dengan
pelanggan pada Walkabout Tempat Larangan Merokok di Bandar Sri
Permaisuri, Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
Katanya, tempoh kompaun akan dimulakan dalam masa enam bulan lagi dan
berharap larangan itu akan terus dipraktikkan oleh rakyat mulai hari
ini.
“Dalam pelaksanaan program ini, memang kita izinkan satu tahap untuk
diperkenalkan betul-betul dahulu, bukan untuk menghukum perokok. Kami
mahu rakyat ambil berat tentang kesihatan samada pemilik premis dan
warga negara kita sendiri. Ini tidak menghukum mereka tapi mengajar
mereka.
“Ini langkah untuk memastikan masyarakat sihat dan negara yang sihat.
Sebab itu semua pelaksanaan itu ada aspek waktu yang kita izinkan
rakyat untuk memahami dahulu larangan ini,” katanya.
Seramai 5,008 orang penguasa daripada Kementerian Kesihatan dikerah
bagi melakukan pemantauan larangan itu di seluruh negara yang bermula
hari ini.
Larangan itu berkuatkuasa melibatkan semua premis makanan seperti restoran tertutup, berhawa dingin dan warung konsep terbuka.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu turut berkata
kerajaan tidak risau akan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman
oleh tujuh individu bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang
menguatkuasakan larangan merokok tersebut.
Ujarnya, mereka mempunyai hak untuk berbuat demikan dan tidak akan berkompromi tentang aspek kesihatan rakyat negara ini.
“Ini negara demokrasi dan mereka ada hak untuk nyatakan pendirian mereka.
“Kami sedia untuk berhadapan dengan mereka di mahkamah dan kami tahu
pelaksanaan ini memang sah dengan peratusan kawalan tembakau dan rokok
ini.
“Jadi kita jumpa di mahkamah dan lawan kes ini dan lihat siapa yang
akan berjaya dalam program menjamin kesihatan rakyat khususnya anak-anak
dan warga emas yang tidak boleh pertahankan diri mereka di tempat
awam,” katanya lagi.
Tujuh pemohon itu memfailkan permohonan mereka secara ex-parte
(sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui
pemfailan e-filing, menerusi Tetuan Haniff Khatri.
Mereka adalah Mohd. Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd
Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor,
52, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39.
Dalam permohonan itu, kesemua pemohon yang bertindak mewakili diri
sendiri dan perokok yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak
Perokok, menamakan Kementerian Kesihatan Malaysia selaku responden.
Dalam permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa larangan merokok itu
bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah
sehubungan itu, aktiviti terbabit sah daripada segi undang-undang yang
dijamin perlembagaan.
Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak
merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.
-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan