Selasa, 1 Januari 2019

Dobi akan dikuatkuasakan tempat larangan merokok

Muhammad Azizul Osman
xMGF01012019_LARANGAN-MEROKOK04-1-681x454
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (dua kanan) mengedarkan papan tanda larangan merokok kepada seorang pekerja kedai makan pada Walkabout Tempat Larangan Merokok di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan larangan merokok di semua tempat makan yang bermula hari ini akan diperluaskan ke premis perniagaan seperti kedai dobi.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, premis-premis seperti ini turut melibatkan perokok pasif yang akan mendedahkan risiko penyakit kepada rakyat terutamanya kanak-kanak.

“Dobi juga adalah tempat mana ada yang merokok dan mendedahkan asap rokok pasif kepada anak-anak yang ada disitu. Kami akan menambah premis larangan merokok dari masa ke semasa,” katanya semasa membuat tinjauan dalam program ‘Walkabout promosi tempat makan sebagai kawasan larangan merokok’ hari ini.

Dalam tinjauan lebih sejam itu, beliau turut dilihat meninjau di lebih 5 restoren makanan dalam memastikan premis makanan itu bebas asap rokok.

Menurut beliau lagi, penguatkuasa itu bermula dengan pendekatan mendidik rakyat supaya mematuhi larangan merokok sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya kelak.
MGF01012019_LARANGAN MEROKOK01
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad beramah 
mesra dengan pelanggan pada Walkabout Tempat Larangan 
Merokok di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
 
Katanya, tempoh kompaun akan dimulakan dalam masa enam bulan lagi dan berharap larangan itu akan terus dipraktikkan oleh rakyat mulai hari ini.

“Dalam pelaksanaan program ini, memang kita izinkan satu tahap untuk diperkenalkan betul-betul dahulu, bukan untuk menghukum perokok. Kami mahu rakyat ambil berat tentang kesihatan samada pemilik premis dan warga negara kita sendiri. Ini tidak menghukum mereka tapi mengajar mereka.

“Ini langkah untuk memastikan masyarakat sihat dan negara yang sihat. Sebab itu semua pelaksanaan itu ada aspek waktu yang kita izinkan rakyat untuk memahami dahulu larangan ini,” katanya.

Seramai 5,008 orang penguasa daripada Kementerian Kesihatan dikerah bagi melakukan pemantauan larangan itu di seluruh negara yang bermula hari ini.

Larangan itu berkuatkuasa melibatkan semua premis makanan seperti restoran tertutup, berhawa dingin dan warung konsep terbuka.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu turut berkata kerajaan tidak risau akan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman oleh tujuh individu bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang menguatkuasakan larangan merokok tersebut.

Ujarnya, mereka mempunyai hak untuk berbuat demikan dan tidak akan berkompromi tentang aspek kesihatan rakyat negara ini.

“Ini negara demokrasi dan mereka ada hak untuk nyatakan pendirian mereka.

“Kami sedia untuk berhadapan dengan mereka di mahkamah dan kami tahu pelaksanaan ini memang sah dengan peratusan kawalan tembakau dan rokok ini.

“Jadi kita jumpa di mahkamah dan lawan kes ini dan lihat siapa yang akan berjaya dalam program menjamin kesihatan rakyat khususnya anak-anak dan warga emas yang tidak boleh pertahankan diri mereka di tempat awam,” katanya lagi.

Tujuh pemohon itu memfailkan permohonan mereka secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui pemfailan e-filing, menerusi Tetuan Haniff Khatri.

Mereka adalah Mohd. Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan itu, kesemua pemohon yang bertindak mewakili diri sendiri dan perokok yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok, menamakan Kementerian Kesihatan Malaysia selaku responden.

Dalam permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa larangan merokok itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah sehubungan itu, aktiviti terbabit sah daripada segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.