KUALA LUMPUR – Pengumuman Kementerian Kewangan untuk menangguhkan
penetapan harga petrol secara mingguan sehingga kerajaan selesai
mengadakan pertemuan dengan Persatuan Penguasaha Stesen Minyak Malaysia
(PDAM) adalah suatu kenyataan yang sukar diterima.
Tindakan itu kerajaan itu bukan sahaja telah memperlekeh dan
membebankan pengguna tetapi ia menimbulkan persoalan mengapa mekanisme
apungan harga petrol yang dilaksanakan dahulu dimansuhkan sedangkan
kaedah itu memberi kebaikan kepada pengguna dan kerajaan.
Malah, penangguhan itu juga mencetuskan pertanyaan adakah Kementerian
Kewangan hanya membuat kenyataan secara semborono tanpa membuat kajian
terlebih dahulu.
Dan, mengapakan Kementerian Kewangan, sebagai suatu kementerian
penting dalam kerajaan boleh mengambil risiko dengan membuat pengumuman
untuk melaksanaan penetapan harga pada 1 Januari 2019 tetapi apabila
tiba masa pelaksanaan, menariknya semula. Jacob George
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr
Jacob George yang kecewa dengan senario itu berkata, apa yang berlaku
ini membuktikan kerajaan Pakatan Harapan terlalu politiking dalam
polisi-polisi yang mahu diperkenalkan.
George mendakwa pernah terlibat dalam rundingan penetapan mekanisme
apungan bebas untuk petrol dan diesel semasa kerajaan Barisan Nasional
(BN) berkata, proses yang dilakukan pada ketika itu cukup telus,
akauntabiliti dan inklusif.
“Saya bukan mahu puji kerajaan Barisan Nasional kerana setiap
kerajaan pasti ada melakukan kesilapan tetapi dalam aspek pelaksanaan
dasar membabitkan rakyat dan pengguna, BN lebih telus.
“Kebiasannya sesuatu perkara yang mahu dilaksanakan akan perhalusi
dengan begitu jelas daripada aspek baik, buruk, kelebihan dan kekurangan
sebelum memutuskan sesuatu tindakan.
“Satu perkara lagi, setiap perkara yang dikaji pasti akan melibatkan
pihak-pihak berkepentingan dan ini penting kerana setiap polisi mesti
disemak dan diimbang melalui konsultasi, lampas minda (brainstorming),
turun padang untuk tahu keadaan sebenar, reaksi pengguna dan sebagainya.
“Tetapi ini tidak dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Akhirnya,
apa yang dikatakan, akan berlaku u-turn,” katanya kepada
MalaysiaGazette.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang
menangguhkan pelaksanaan penetapan harga petrol yang sepatutnya bermula 1
Januari 2019.
Penetapan harga itu diumumkan sebelum ini selepas pelbagai pihak
mempersoalkan mengapa kerajaan mengenakan cukai petroleum bagi RON95
memandangkan harga minyak dunia menyusut sejak dua bulan lalu.
Harga RON95 ditetapkan dengan subsidi sebanyak RM2.20 seliter selepas
kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara selepas
memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, yang merupakan sebahagian daripada
manifesto.
Namun sejak dua bulan lalu, harga minyak dunia susut dan berlegar
sekitar AS$50 setong – sepatutnya harga RON95 dijual pada harga RM1.90
seliter atau lebih rendah.
Mengulas lanjut, George berkata, kelewatan pelaksanaan itu juga tidak
memberi keadilan kepada rakyat yang terpaksa membayar cukai petroleum
sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Perkara itu tidak akan berlaku jika Kementerian Kewangan tahu bahawa
rakyat Malaysia begitu sensitif dengan harga RON95 memandangkan
penggunaan minyak itu tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Lagipun, apakah rasionalnya jika harga minyak dunia murah tetapi rakyat Malaysia terpaksa bayar tinggi.
“Pendekatan kerajaan itu juga tidak selaras dengan aspirasi Malaysia
Baharu Pakatan Harapan untuk menangani kenaikan kos sara hidup rakyat
yang diuar-uarkan sebelum ini,” katanya lagi.
Lantaran itu, George berharap isu penetapan harga minyak itu menjadi
pengajaran kepada mana-mana kementerian supaya sentiasa mendahulukan
pengguna dan tidak sesekali berpolitiking.
“Cukup-cukuplah ahli politik sahaja yang berpolitiking dan jangan
heret pengguna sama dalam ‘peperangan’ anda,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan