Sabtu, 15 Disember 2018

UTC: Pelanggan kecewa kerajaan pendekkan waktu operasi


Ramai pengguna kelihatan menunggu kaunter dibuka berikutan 
waktu rehat dari  jam 7 hingga 8 malam.
 
KUALA LUMPUR: Rata-rata pelanggan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang ditemui FMT kecewa dengan keputusan kerajaan memendekkan waktu operasi pusat berkenaan sehingga jam 7 malam bermula tahun depan.

UTC yang diilhamkan oleh kerajaan sebelum ini sebagai pusat khidmat setempat bagi memudahkan rakyat berurusan dengan jabatan dan agensinya dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam.
Pelanggan di UTC, Faizun Bahadzaman.
Bagaimanapun melalui satu makluman rasmi baru-baru ini, kerajaan memutuskan untuk mengubah waktu operasi UTC di seluruh negara dari jam 8 pagi hingga 7 petang bermula 1 Jan tahun depan.

Seorang pelanggan di UTC Kuala Lumpur, Faizun Bahadzaman yang bekerja seorang kerani di sebuah bank berkata, perubahan waktu opeasi itu tidak wajar kerana menyukarkan beliau untuk berurusan dengan agensi kerajaan pada waktu kerja.

Beliau berkata, UTC merupakan tempat yang mudah untuk beliau berurusan seperti membuat pasport kerana dibuka pada waktu malam.

“Tukar waktu operasi tak wajar. Saya harap waktu operasi diteruskan sampai jam 10 malam.

“Saya biasa datang ke sini atas urusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan macam-macam lagi.

“Lepas ini akan rasa susah sebab waktu urusan UTC sama dengan waktu kerja saya,” katanya kepada FMT.

Faizun juga berkata kebiasaannya pada waktu malam masih ramai orang yang datang ke UTC atas urusan masing-masing.

“Saya tengok pun ramai orang datang ke UTC. Sebelum jam 8 malam di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia orang sudah beratur panjang. Orang masih ramai,” katanya.

Hasil pemantauan FMT selama 3 jam di UTC Kuala Lumpur sehingga 9 malam mendapati ramai pengguna ke situ terutamanya untuk berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), JPJ dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Ramai pengguna kelihatan menunggu kaunter dibuka berikutan waktu rehat antara 7 malam hingga 8 malam.

Selain urusan pendaftaran atau imigresen, terdapat juga kaunter Pejabat Pos Malaysia, syarikat insurans, kedai photostat dan gambar, klinik, Telekom Malaysia (TM) dan jabatan agama seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dibuka sehingga jam 9.30 atau 10 malam.

Dalam makluman kerajaan berkaitan keputusan tersebut, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, pemendekkan waktu operasi UTC dibuat atas beberapa faktor seperti kehadiran pelanggan hanya 11% selepas pukul 7 malam.

Katanya, pengurangan waktu operasi itu juga bagi memastikan perbelanjaan kerajaan adalah efisien tanpa pembaziran waktu dan operasi.

Beliau berkata, ia juga bertujuan mengurangkan penjawat awam dan peruntukan bagi belanja operasi, khususnya pembayaran bil utiliti dan bayaran kerja lebih masa.
Zulkarnain Abd Rahman.
Seorang pelanggan Zulkarnain Abdul Rahman berkata, waktu operasi sebelum ini memudahkan kebanyakan orang yang bekerja untuk berurusan selepas waktu kerja, walaupun bersetuju waktu itu boleh dipendekkan sedikit.

“Susah nak pergi ketika waktu kerja ke sini. Saya ada macam-macam urusan seperti buat pasport dan di JPN. Kalau boleh kekalkan untuk mudahkan orang lain juga,” katanya.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Ahmad dan bekerja sendiri berkata, beliau tidak mempunyai masa untuk melakukan urusan berkaitan pada waktu siang hari dan akan datang ke UTC pada sebelah malam selepas waktu bekerja.

“Saya datang ke UTC atas urusan tukar nama kenderaan di kaunter JPJ, buat cukai jalan dan bayar insurans pada jam 7 hingga 8 malam.

“Mungkin bagi saya tak terasa sangat kerana bekerja sendiri, tetapi bagi kakitangan awam atau swasta, mungkin memberi kesan sebab mereka perlu mencari masa sesuai.

Seorang pelanggan, Hakim Harun yang bekerja sebagai operator kilang di Selangor berkata, UTC memang menjadi tempat untuk beliau berurusan selepas waktu kerja.

Beliau berkata, kalau waktu operasi UTC dipendekkan, maka peranannya memudahkan urusan orang ramai sudah tidak efektif.
Pekerja swasta Hakim Harun.
“Saya sekarang balik kerja 6 petang, memang pejabat kerajaan sudah tutup. Kita memang berharap untuk berurusan di UTC.

“Saya datang ke UTC untuk bayar pinjaman PTPTN, hidupkan cukai jalan dan sebagainya. Mungkin selepas ini ini kena cari waktu sesuai seperti minta cuti atau hujung minggu untuk buat semua urusan itu,” katanya.

Seorang peniaga di UTC yang hanya ingin dikenali sebagai Halim sudah berniaga selama 5 tahun dengan membuka kedai photostat di pusat itu.

Beliau berkata, jika UTC buka sampai jam 10 malam orang boleh berurusan sehingga waktu itu, walaupun bersetuju waktu pejabat biasa pun sudah memadai dengan disipilin dan pengurusan masa lebih baik.

“Bagi saya kita orang Malaysia masih minda kelas ketiga. Banyak bagi alasan dan buat kerja pada saat-saat akhir. Tidak ada disiplin,” katanya.

Tiada ulasan: