Sabtu, 15 Disember 2018

Pemimpin DAP gesa senator PPBM tidak racuni PH dengan hujah ‘rasis’


Pengerusi PPBM Terengganu Razali Idris (kiri) dan ketua DAP 
Bukit Tambun, Teoh Seang Hooi.
 
GEORGE TOWN: Seorang pemimpin akar umbi DAP berkata beliau sedih mendengar seorang senator PPBM menggunakan hujah rasis ketika memberi komen terhadap keengganan DAP menerima bekas Ahli Parlimen Umno ke dalam Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PPBM Terengganu, senator Datuk Razali Idris bertanyakan DAP sama ada “ia bimbang dengan bertambahnya suara Melayu-Islam” di Parlimen berikutan bantahannya terhadap kemasukan bekas pemimpin Umno ke dalam PPBM.

Ketua DAP Bukit Tambun Teoh Seang Hooi berkata, kenyataan sedemikian tidak sesuai diucapkan oleh wakil PH kerana gabungan politik itu bergantung pada hubungan baik sesama parti komponen untuk memenangi pilihan raya umum 9 Mei lepas.

“Berhenti meracuni PH dengan rasisme. PPBM sepatutnya mencontohi pendirian DAP dan PKR untuk tidak menerima bekas Ahli Parlimen Umno, selari dengan penolakan pengundi terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Pengerusi PPBM Terengganu itu patut menghormati pilihan pengundi, bukannya membuat kenyataan rasis,” katanya ketika dihubungi.

Portal Malaysiakini melaporkan Razali berkata, anggota parti pembangkang perlu dibenarkan menyertai PPBM kerana ia merupakan peluang bagi parti itu menambah bilangan (wakilnya).

Ketika ditanya reaksi beliau terhadap komen Teoh, Razali berkata, pemimpin DAP itu berhak memberikan pandangannya.

Beliau bagaimanapun bertanya, kenapakah label rasis digunakan terhadap pihak yang mempertahankan kaum dan agama mereka sendiri.

Razali berkata, ironinya apabila kaum minoriti mempertahankan diri sendiri, label rasis tidak pula digunakan terhadap mereka.

“Kenyataan saya bertujuan mengkritik komen yang dibuat oleh Ronnie Liu dan beberapa pemimpin DAP lain.

“Paling jelas, PPBM adalah parti orang Melayu dan Islam. Ini bermakna ahli PPBM terdiri daripada orang Melayu, Islam dan Bumiputera. Ia tiada kena mengena dengan rasisme.”

Razali berkata, Liu sepatutnya tidak memanggil PPBM dan Dr Mahathir sebagai “pengutip sampah” kerana bersedia menerima kemasukan bekas pemimpin Umno.

Dalam kenyataan lebih awal, Razali berkata, ahli MCA dan Gerakan menyertai DAP tanpa banyak bantahan, tetapi parti itu membesar-besarkan isu ahli Umno menyertai PPBM.

Beliau juga berkata, apabila bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim menyertai DAP, tidak ada pihak yang membuat bising tentangnya.

Razali berkata, adalah lebih baik sekiranya bekas ahli Umno menyertai PPBM daripada menjadi ahli PAS.

Liu, yang merupakan ahli jawatankuasa DAP Selangor, sebelum ini mengingatkan anggota PH supaya tidak menerima bekas ahli Umno kerana Dr Mahathir pernah menyifatkan mereka sebagai “tidak berguna dan sampah”.

Beliau juga mengingatkan Dr Mahathir tentang kenyataannya itu dan berharap perdana menteri itu tidak menjadi “pengutip sampah”.

PPBM kini mempunyai 16 Ahli Parlimen dan 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Satu lagi parti komponen PH, iaitu Amanah, dilaporkan turut menyuarakan kesediaannya menerima bekas wakil rakyat dan pemimpin Umno selepas melalui proses penapisan yang ketat.

Umno memenangi 54 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum lepas. Beberapa Ahli Parlimennya meninggalkan parti berikutan keputusan pilihan raya itu, termasuk bekas menteri perdagangan Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermeyati Samsuddin, yang memohon menyertai PPBM minggu ini dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Semalam 6 lagi Ahli Parlimen Umno meninggalkan parti itu, iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Datuk Mohamad Faisah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah).

Tiada ulasan: