Sabtu, 1 Disember 2018

Tak mudah tumbangkan Tok Mat, kata penganalisis

 
   
PKR perlu meletakkan calon yang setanding atau lebih dikenali untuk bertanding di kerusi DUN Rantau sekiranya pilihan raya semula di kawasan itu diadakan.

Menurut penganalisis politik, ini kerana populariti penyandangnya Mohamad Hasan atau lebih mesra dengan gelaran Tok Mat sukar untuk ditandingi.

Malah jentera pilihan raya PH juga dilihat bakal berdepan cabaran besar untuk memenangi sokongan penduduk di Rantau yang berasa terhutang budi terhadap bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Prof Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berpendapat selain faktor calon, prestasi Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih kerajaan turut memainkan peranan penting bagi menentukan kemenangan gabungan berkenaan.

"Maka ini menjadi satu cabaran untuk PH untuk menumbangkan beliau (Tok Mat). Ia sesuatu yang mustahil walaupun (PH) menggerakkan jenteranya bersungguh-sungguh di peringkat bawah kecuali mereka dapat tampilkan pemimpin yang besar," katanya.

Dalam PKR, beliau menamakan bekas naib presiden parti itu Rafizi Ramli antara mereka yang dilihat mempunyai kewibawaan untuk mencabar populariti Mohamad.
"Contohnya macam Rafizi yang dilihat ada karismanya sendiri dan keberaniannya untuk mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam kepimpinan terdahulu.

"Tapi apa pun, tidaklah semudah itu untuk menumbangkan Tok Mat yang memang popular (di kalangan penduduk Negeri Sembilan)," kata Jeniri kepada Malaysiakini. 

Pada 17 November, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui nama Rafizi antara yang disenaraikan sebagai calon bagi pilihan raya semula kerusi DUN Rantau.

Populariti Mohamad masih kuat 

Jeniri berkata, meskipun prestasi dan populariti timbalan presiden Umno itu kini tidak sehebat ketika BN mentadbir negeri tetapi sumbangannya ketika menyandang jawatan menteri besar selama 15 tahun mengukuhkan sokongan pengundi di situ terhadapnya.

"Orang Melayu terutamanya tidak mudah lupa jasa dan sumbangan seorang pemimpin lebih-lebih lagi pemimpin yang dilihat berjasa besar dan punya populariti yang menyerlah di kalangan pengundi.

"Jadi sokongan itu kalau pun turun disebabkan perubahan di peringkat Persekutuan, penurunannya tidaklah sampai begitu mendadak dan akhirnya menyebabkan BN dan Umno tumbang," katanya.

Pendapat yang sama turut disuarakan Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya yang mengatakan Mohamad masih mempunyai pengaruh tersendiri di DUN Rantau.

Beliau malah turut meramalkan Mohamad bakal mempertahankan kerusi itu yang disandangnya selama tiga penggal berturut-turut kerana personalitinya yang disenangi ramai.
"Populariti Tok Mat akan mempengaruhi PRK ini kerana Tok Mat disegani, bersih dan dekat dengan masyarakat.

"Isu PRK ialah isu setempat dan pengundi lebih cenderung kepada faktor personaliti yang dilihat memihak kepada Tok Mat. Disebabkan politik personalitinya yang baik maka sentimen Melayu akan mempengaruhi undi," katanya.

Bagaimanapun seperti Jeniri beliau berpendapat PH masih mempunyai peluang sekiranya menampilkan calon berwibawa.

"(Populariti) Tok Mat hanya berlandaskan pencapaian lampau. Namun, jikalau calon PH yang diletakkan kurang dikenali dan sumbangan tiada, sukar bagi PH tembusi DUN Rantau," katanya.

Awang berkata walau apa pun Umno perlu bekerja lebih kuat untuk mempertahan DUN berkenaan atau terpaksa menanggung malu sekiranya timbalan presidennya tersungkur pada PRK tersebut.

Streram boleh raih undi bukan Melayu

Bagaimanapun, Prof Dr Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia pula berbeza pendapat dengan Jeniri dan Awang apabila meramalkan keputusan DUN Rantau memihak kepada Streram.

Ini berdasarkan jumlah komposisi kaum bukan Melayu iaitu sebanyak 46 peratus berbanding Melayu sebanyak 54 peratus di kawasan itu.

Menurut Azizuddin keadaan ini akan menyebabkan perpecahan undi antara pengundi Melayu yang menyokong PH dan pembangkang.

Dari segi komposisi bukan Melayu, DUN berkenaan memiliki 19 peratus kaum Cina, 27 peratus kaum India dan lain-lain (1 peratus).
"Kalau Umno bertanding, PAS tak bertanding, PAS akan sokong Umno, maksudnya Umno akan dapat undi lebih.

"Cuma undi Melayu tetap akan ada yang beri sokongan kepada PH. Kalau PH letak Streram sebagai calon, peluang dia menang agak tinggi," katanya.

Selain itu beliau berkata Streram mempunyai kelebihan untuk merampas DUN berkenaan memandangkan PH kini memegang kuasa di Putrajaya.

Faktor itu juga akan mempengaruhi keputusan pengundi yang bimbang DUN itu akan diabaikan oleh kerajaan negeri sekiranya dimenangi pembangkang.

"Tok Mat memang orang kenal sebab bekas menteri besar. Tapi Streram ni mungkin ada sebahagian tak kenal dia, sebahagian mungkin kenal dia kerana telah berkhidmat lama di sana. Tapi antara dia dan Tok Mat, mestilah orang kenal Tok Mat lagi.

"Cuma kalau sekarang ni BN kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, memang peluang untuk Tok Mat menang tu agak tinggi sebab projek-projek pembangunan dan macam-macam cadangan boleh dilontarkan untuk dilaksanakan di Rantau," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata sekiranya pengundi bukan Melayu mencatatkan jumlah keluar mengundi yang rendah, keadaan itu akan memberikan kelebihan buat Mohamad.

Mohamad menang kerusi DUN itu tanpa bertanding pada 28 April lalu selepas lawannya Dr S Streram dilarang memasuki pusat penamaan kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram, yang juga pakar bius di Pusat Perubatan Nilai, memfailkan petisyen bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula kerana tidak sah.

Mohamad memenang kerusi itu sejak 2004 dan merupakan menteri besar popular di Negeri Sembilan sepanjang tiga penggal pentadbirannya.

Sebelum PRU14 pada 9 Mei lalu, pemimpin berusia 62 tahun itu mengekalkan kerusinya dengan meraih majoriti besar iaitu 79.3 peratus pada 2004, 63.3 peratus (2008) dan 63.8 peratus (2013).

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya di Seremban memerintahkan kerusi DUN berkenaan dikosongkan dan kemenangan Mohamad pada PRU14 lalu tidak sah dan terbatal.


Tiada ulasan: