PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menghantar makluman rasmi mengenai kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof Isnin ini.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, ini kerana sehingga tamat tempoh rayuan semalam seperti yang ditetapkan mengikut Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya, tiada sebarang rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan atau dimaklumkan kepada SPR terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional di situ.
“Selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang ditentukan oleh SPR iaitu mulai 15 Disember 2018,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Cameron Highlands ialah kerusi tradisi MIC yang dimenangi Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dengan majoriti 567 undi.
Bagaimanapun, kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur bulan lalu, dengan alasan wujud elemen rasuah ketika berkempen.
Mahkamah Pilihan Raya mendengar petisyen difailkan calon DAP, M Manogaran pada 30 November lalu yang amalan rasuah terbukti berlaku dengan pengetahuan dan kebenaran Sivarraajh ketika tempoh berkempen di kerusi Cameron Highlands.
Pada 12 Disember lalu, Sivarraajh menyatakan beliau tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangannya di Cameron Highlands.
Mengulas lanjut, Azhar berkata SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai perlaksanaan pilihan raya kecil terbabit.
“Tarikh mesyuarat tersebut akan dimaklumkan nanti oleh pihak SPR,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan