Selasa, 11 Disember 2018

PM gesa industri sawit tempatan teroka pasaran baharu untuk atasi Indonesia


Dr Mahathir Mohamad melancarkan Pelaksanaan Program B10 
di Sektor Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pemain industri kelapa sawit tempatan menerokai pasaran baharu untuk menyaingi Indonesia yang merupakan pengeluar terbesar komoditi itu di dunia ketika ini.

Perdana menteri juga berharap Malaysia dapat melaksanakan program B20 – 20% adunan biodiesel sawit dengan 80% diesel fosil, menjelang 2020.

Katanya, Indonesia melaksanakan program B20 secara mandatori dalam sektor pengangkutan sejak Januari 2016, tetapi Malaysia hanya memulakan program B10 sekarang.

“Kini, program biodiesel di Indonesia berjaya mengurangkan pengimportan diesel dan mengukuhkan industri sawit dan ekonomi Indonesia.

“Industri sawit di Malaysia harus berani meneroka pasaran baru, bahkan kita seharusnya membuktikan di mata dunia kualiti minyak sawit Malaysia antara yang terbaik.

“Saya berharap semua pihak bersedia sepenuhnya supaya kadar adunan dapat ditingkatkan kepada B20 menjelang 2020,” katanya berucap melancarkan Pelaksanaan Program B10 di Sektor Pengangkutan, di Dataran Putra, hari ini.

Dr Mahathir juga berharap program biodiesel diberi perhatian serius dalam Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) yang sedang dirangka Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Kita seharusnya memastikan pada masa akan datang, hanya kenderaan diesel yang boleh menerima biodiesel lebih daripada 10% dijual di Malaysia.

“Saya menyeru pengeluar kenderaan dan OEM (pengeluar peralatan asal) bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan program B10 ini, termasuk sebarang program biodiesel.”

Beliau berkata, program Biodiesel B10 – adunan 10% biodiesel sawit dan 90% diesel fosil – akan dilaksanakan ke atas semua jenis kenderaan diesel mulai 1 Februari depan.

Katanya, penggunaan 10% biodiesel sawit di Malaysia bagi bas, lori dan kenderaan pacuan empat roda mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 1.6 juta tan karbon dioksida setahun atau 10% daripada jumlah kenderaan diesel setahun di negara ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia selaku pengeluar minyak sawit ke-2 terbesar dunia turut berdepan dakwaan negatif masyarakat dunia, termasuk Kesatuan Eropah dan badan bukan kerajaan.

“Serangan-serangan ini sebahagian daripada strategi untuk menyekat minyak sawit bersaing di pasaran antarabangsa kerana harga minyak sawit lebih murah secara relatif berbanding minyak lain dan juga mengandungi khasiat baik untuk kesihatan.”

Bagaimanapun, katanya, Malaysia mengambil inisiatif dengan mewujudkan Skim Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MSPO).

“Namun, negara-negara pengimport terus berdegil mengenakan pelbagai sekatan ke atas minyak sawit. Saya ingin menegaskan kerajaan akan terus memelihara alam sekitar, di mana ketika ini litupan hutan di Malaysia merangkumi kira-kira 55.3% daripada keluasan negara.

“Ini melebihi komitmen kerajaan melalui ikrar Sidang Kemuncak Bumi di Rio pada 1992 untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% tanah di Malaysia dilitupi hutan. Kerajaan akan berusaha menangkis semua tuduhan dilemparkan kepada minyak sawit melalui apa sahaja cara.”

Tiada ulasan: