Jumaat, 14 Disember 2018

Pengawal keselamatan hospital kerajaan tidak dibayar gaji, dakwa PSM

(Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mendakwa kakitangan kontrak di sebuah hospitak kerajaan tidak dibayar gaji sejak September lalu.

Lebih menyedihkan, kejadian itu didakwa berlaku di pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya.

Penyelaras Biro Pekerja PSM, Sivaranjani Manickam berkata, hasil kajian PSM mendapati pengawal keselamatan di Hospital Putrajaya tidak menerima gaji selama tiga bulan.

Atas sebab itu, tugas pengawal keselamatan kini diselia oleh pasukan polis bantuan kerana rata-rata pengawal keselamatan sudah tidak lagi hadir ke tempat kerja.

“Putrajaya adalah pusat pentadbiran negara kita. Jika pekerja yang berada di Putrajaya pun tidak mendapat perlindungan bagaimana pula dengan pekerja-pekerja kontrak kerajaan di seluruh negara?” katanya.

Tambah Sivaranjani, perkara itu telah pun dilaporkan ke Jabatan Tenaga Kerja dan pihak hospital, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian yang ditemui.

Beliau mempersoalkan bagaimana syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab kepada pekerja boleh mendapat tender daripada kerajaan.

“Persoalan yang lebih pokok adalah mengapa pekerja-pekerja di premis kerajaan harus dijadikan pekerja kontrak dibawah syarikat swasta? Siapakah kroni-kroni kerajaan yang mendapat keuntungan dengan sistem kontrak ini?” soalnya dalam kenyataan tersebut.

Tegasnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil langkah serius dan segera bagi menangani masalah itu untuk menyelamatkan golongan pekerja yang ditindas.

“Kalau keadaan ini tidak diambil berat, satu hari nanti menteri-menteri dan ketua jabatan kena cuci tandas dan jadi pengawal keselamatan pula,” katanya.

Tiada ulasan: