Ahad, 2 Disember 2018

‘Kenapa menteri masih cari helah pertahan ICERD’

siti hafidah

Konvensyen antarabangsa pinggir norma lazim negara: Zainul Rijal



BANGI – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mempersoalkan sikap segelintir pihak yang masih berkeras mempertahankan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), walaupun kerajaan sudah memutuskan tidak akan meratifikasinya.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, meratifikasi ICERD hanya akan memusnahkan jati diri negara kerana ia menodai kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sudah diterima rakyat sekian lama.

Malah beliau berkata, konvensyen antarabangsa berkenaan meminggirkan norma lazim negara yang sudah sebati di dalam jiwa rakyat Malaysia.

“Jemaah Menteri dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah bersetuju menolak ICERD kerana bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi kenapa masih ada menteri yang berdolak dalik mencari helah masih mahu mempertahankan ratifikasi ICERD? Kenapa media khususnya portal masih tidak mahu akur dengan keputusan kerajaan tersebut?

“Kenapa NGO liberal masih berfalasi menyatakan Perlembagaan Persekutuan masih tidak akan tergugat dengan penandatangan ICERD?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainul Rijal berkata, walaupun Perlembagaan Persekutuan masih kekal jika ICERD ditandatangan, Malaysia masih tetap terikat dengan peruntukan yang termaktub dalam konvensyen antarabangsa itu.

Pada masa sama, beliau turut menolak dakwaan bahawa ratifikasi ICERD tidak akan menjejaskan tindakan afirmatif kepada orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak, kerana kebenaran di dalam Artikel 1(4) ICERD.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar, beliau berkata, ICERD mensyaratkan tindakan afimatif tersebut mestilah tidak mengadakan hak berasingan kepada dua kumpulan berbeza dan akan dimansuhkan bila tujuan keistimewaan dicapai.

“Perlembagaan Persekutuan memberikan hak berbeza antara orang Islam dan bukan Islam, antara orang Melayu serta Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Sebagai contoh undang-undang keluarga Islam yang berlainan bagi orang Islam dan bukan Islam, larangan pemilikan tanah tertentu kepada golongan tertentu seperti bukan anak Sabah tidak boleh memiliki tanah tertentu di Sabah.

“Hal ini juga berlaku di beberapa negeri lain seperti Kelantan, Sarawak. Malah tanah adat di Negeri Sembilan hanya boleh dimiliki oleh wanita tempatan anak negeri sahaja,” katanya.

Jelas beliau, kesemua hak berkenaan tidak dinyatakan tempoh, dan ia dilaksana selagi tiada pindaan kepada undang-undang.

“Oleh itu syarat di dalam Artikel 1(4) ICERD tersebut tidak boleh dinikmati oleh Malaysia.
Kesemuanya perlu dipinda jika ICERD diratifikasi,” katanya.

Beliau berkata, tanpa ICERD, rakyat berbilang agama masih bebas menganut dan mengamalkan agama mereka, malah orang bukan Melayu tetap diberi hak membina kekayaan dan mengumpul harta.

“Tanpa ICERD pun tiada diskriminasi kaum di Malaysia. Tanpa ICERD pun orang bukan Melayu bersama-sama orang Melayu boleh berkongsi kuasa memerintah negara,” katanya.


Tiada ulasan: