Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low
mendakwa pertuduhan mahkamah yang dikenakan terhadapnya bertujuan
mengalihkan perhatian terhadap "kegagalan rejim Mahathir" mentadbir
negara.
Low berkata pentadbiran PH, pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengabaikan kedaulatan undang-undang dan salah tafisr perlembagaan.
“Pendakwaan ini bertujuan mencipta sebuah lagi rasa selamat palsu kerana kerugian politik yang dibawa rejim (Dr) Mahathir sendiri disebabkan kegagalannya dalam isu-isu semasa; mengabaikan kedaulatan undang-undang; dan salah tafsir Perlembagaan yang disengajakan.
“Ia tidak lebih daripada kelangsungan perbicaraan oleh media dan tindak balas politik oleh rejim (Dr) Mahathir," jelasnya.
Low sekali lagi mengulangi pendiriannya yang beliau tidak bersalah pada semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Waran tangkap buat Jho Low
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan empat individu lagi.
Empat individu itu ialah Eric Tan Kim Loong, 40, Tang Keng Chee, 53, Geh Chong Heng, 47, yang ketiga-tiganya merupakan pegawai 1MDB dan seorang wanita, Loo Ai Swan, 45, bekas peguam 1MDB.
Tengah hari tadi, mahkamah membuat pendakwaan tanpa kehadiran (in absentia) terhadap lima individu itu. Pendakwaan bagaimanapun tidak dibacakan di depan hakim.
Jho Low berdepan lima pendakwaan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan