Jumaat, 7 Disember 2018

Dewan Rakyat ‘panas’ kerana isu Sivarraajh

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini panas dengan tindakan terhadap Datuk C. Sivarraajh yang semalam diarah meninggalkan sidang Dewan Rakyat oleh Speaker mendapat bantahan kebanyakan anggota Parlimen pembangkang hari ini.

Yang Dipertua Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Sivarraajh supaya meninggalkan sementara sidang Dewan Rakyat pagi semalam sehingga beliau mendapatkan penjelasan mengenai status Sivarraajh sebagai Anggota Parlimen Cameron Highlands.

Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lepas mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Menurut Mohamad Ariff, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Sivarraajh dan peguam anggota Parlimen itu dan beliau dimaklumkan bahawa rayuan terhadap keputusan mahkamah itu masih belum difailkan oleh Sivarraajh.

“Saya telah memohon supaya mereka dapatkan keputusan penuh Mahkamah Tinggi supaya semua orang dapat memahami apa sebenarnya kandungan keputusan hakim Mahkamah Tinggi, saya diberitahu rayuan belum difailkan, saya akan segerakan petua apabila saya terima keputusan hakim,” katanya.

Kenyataan itu bagaimanapun dibantah oleh beberapa anggota parlimen BN dan PAS yang menyifatkan arahan beliau untuk melarang Sivarraajh daripada menghadiri persidangan dewan adalah khilaf dan ia menghukum Sivarraajh dan menafikan haknya sebagai seorang anggota Parlimen.

Antara hujahan mereka ialah kerana Sivarraajh masih mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu kepada mahkamah dan sehingga tempoh itu beliau masih lagi seorang anggota Parlimen dan boleh berada di dalam Dewan.

Antara yang terlibat berhujah ialah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) dan ketua pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut meminta Speaker membenarkan Sivarraajh kembali ke kerusinya.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub (BN-Bera) hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berhak menentukan Sivarraajh sebagai anggota Parlimen walaupun mahkamah telah membuat keputusan.

“Mahkamah selepas menjatuhkan hukuman, selepas 14 hari mahkamah beri notis kepada SPR, dan SPR yang beri notis kepada Speaker untuk buat keputusan,” demikian menurut Ismail Sabri.

Mohamad Ariff membenarkan hampir 20 anggota Parlimen bercakap mengenai perkara itu sehingga menyebabkan pertikaman lidah antara beberapa orang dalam blok kerajaan dan pembangkang, sebelum beliau akhirnya membuat penjelasan.

“Biar saya terangkan, dalam sistem undang-undang pilihan raya kita ada dua peringkat, pertama hakim pilihan raya akan umumkan, tentukan dalam mahkamah terbuka ‘ABCD’ (keputusan) termasuklah bahawa pilihan raya terlibat adalah batal.

“Peringkat kedua, hakim akan keluarkan satu perisytiharan, jadi terdapat sedikit keadaan limbo di situ di antara keputusan di mahkamah terbuka dengan pengeluaran pengisytiharan, jadi biarlah saya kaji sedalam-dalamnya dan melihat keputusan hakim,” katanya sambil menjelaskan beliau dimaklumkan pihak Sivarraajh akan memberikan keputusan mahkamah kepadanya hari ini.

Mohamad Ariff berkata beliau akan mengeluarkan petua mengenai perkara itu pada Isnin ini selepas beliau mengkaji keseluruhan peraturan-peraturan terpakai, dan keputusan Speaker adalah muktamad dalam hal ini.

“Kedudukan undang-undang bukan jelas semata-mata, jadi saya perlu sedikit masa untuk buat ruling, saya sudah bercakap dengan peguam Cameron Highlands, dan beliau akan terus berhubung dengan saya… keputusan saya kekal, saya akan buat ruling hari Isnin,” katanya.

Keadaan itu bagaimanapun tidak dapat meredakan keadaan dan lebih 10 anggota Parlimen pembangkang kemudiannya beramai-ramai keluar daripada persidangan Dewan yang masih berlangsung.

Tiada ulasan: