KEADILAN DAILY
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa agar perjanjian ujrah yang hanya mengenakan upah pinjaman sebanyak 1 peratus ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dikekalkan.
Tuntutan adalah antara lima syor yang dimajukan kepada Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dalam satu pertemuan tertutup bersama kepimpinan AMK hari ini.
“Pertemuan ini diadakan sebagai langkah susulan membincangkan dengan lebih lanjut keputusan PTPTN menangguhkan Potongan Gaji Berjadual (PGB) yang pada awalnya diumumkan ingin dilaksanakan pada Januari 2019.
“AMK menyambut baik tindakan kerajaan untuk mendengar pandangan anak muda dan dalam pertemuan bersama PTPTN, AMK telah mengesyorkan tuntutan-tuntutan seperti berikut kepada PTPTN:
“Pertama, PTPTN perlu mematuhi dan menghormati perjanjian asal pembayaran balik yang telah dipersetujui lebih awal antara PTPTN dan peminjam.
“Kedua, satu fokus penuh diberikan kepada usaha untuk mengesan dan memulakan pembayaran balik yang masih belum dimulakan oleh mana-mana peminjam.
“Ketiga, sekiranya PTPTN ingin meminda kandungan perjanjian asal pembayaran balik, PTPTN perlu terlebih dahulu merujuk dan mendapatkan kebenaran daripada peminjam.
“Keempat, kadar ujrah sebanyak 1 peratus yang dikenakan bagi tujuan menampung kos-kos bagi mengurus dan menyediakan pinjaman kepada peminjam adalah dikekalkan buat masa ini tanpa sebarang kenaikan.
“Dan kelima, sebarang makluman dan ketetapan baru yang akan diputuskan oleh PTPTN kelak yang akan memberikan kesan langsung kepada peminjam seharusnya dimaklumkan lebih awal dan dibincang terlebih dahulu bersama peminjam,” kenyataan Ketua AMK, Akmal Nasir dipetik.
Menurut anggota Parlimen Johor Bahru itu lagi, sebarang pengumuman penting dan sensitif dari PTPTN seharusnya dibincangkan dan diteliti demi memastikan i tidak menyimpang daripada semangat asal manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Harapan pada PRU14 lalu menjanjikan penghapusan senarai hitam PTPTN – yang kemudian ditunaikan dalam masa 100 hari.
Namun, beberapa pengumuman susulan institusi tersebut yang kemudian dibatalkan menimbulkan keresahan di kalangan orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan