Perodua tawar rebat sehingga RM800 bagi model terpilih sepanjang Jun
KUALA LUMPUR
– Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan
mengurangkan harga jualan kereta sehingga RM3,500 berikutan pelaksanaan
cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus, mulai
esok.
Pengarah
Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, mulai 1 Jun
2018, syarikat itu akan menurunkan sehingga 5.6 peratus harga jualan
bagi kebanyakan model kereta Perodua.
“Memandangkan
kerajaan telah mengumumkan bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST)
akan dilaksana semula pada September, maka kami menggalakkan semua
rakyat Malaysia memanfaatkan tawaran bebas cukai selama tiga bulan ini.
“Ia juga adalah masa terbaik untuk membeli kereta Perodua,” katanya.
Beliau
berkata, menerusi kadar sifar peratus itu, Perodua juga akan
menghentikan pembayaran balik GST untuk pembelian kenderaan, alat ganti
serta servis di pusatnya, yang diperkenalkan pada 18 Mei lalu.
Katanya,
Perodua juga akan menawarkan rebat sehingga RM800 bagi model terpilih
untuk sebarang pembelian yang dibuat pada Jun ini.
“Sila layari
mana-mana cawangan jualan dan perkhidmatan Perodua di seluruh negara
untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan kami.
“Kami
mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan
mereka yang berterusan dan mengucapkan Salam Ramadan serta selamat
menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan