Selasa, 26 Jun 2018

Musa Aman akui berada di UK

 
   


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini memecahkan kebuntuan mengenai keberadaannya dengan mengesahkan bahawa beliau kini berada di United Kingdom atas urusan perubatan dan peribadi.

Beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kota Kinabalu juga menjelaskan bahawa telah meninggalkan Malaysia secara wajar mengikut undang-undang pada 16 Mei lalu.

Musa berkata beliau telah memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai "tindakan tidak berperlembagaan" berikutan angkat sumpahnya sebagai Ketua Menteri Sabah.

"Saya telah memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan arahan terhadap kedua-dua Yang Dipertua Negeri Sabah dan Datuk Seri Shafie Apdal akibat daripada tindakan ultra vires dan perbuatan yang tidak berperlembagaan oleh Yang Dipertua Negeri berikutan angkat sumpah saya sebagai Ketua Menteri.

"Beliau (Yang Dipertua Negeri) secara tidak wajar meminta saya meletak jawatan dalam masa 48 jam, enggan menandatangani Instrumen pelantikan, kononnya Datuk Seri Shafie Apdal akan angkat sumpah sebagai Ketua Menteri sedangkan saya masih berkhidmat.

"Perkara itu kini subjudis di hadapan Mahkamah Tinggi ekoran saman asal saya,” katanya dalam kenyataan itu.

Musa berkata beliau bersedia membantu pihak polis dan siasatan lain mengenai perkara ini dan beliau telah menjelaskannya kepada Pesuruhjaya Polis Sabah.

Menurut Musa, beliau telah memberi arahan peguamnya, baik di Malaysia dan London, dan sebarang pertanyaan atau permintaan untuk maklumat lanjut perlu disampaikan kepada mereka.

Mengenai pelbagai kenyataan dan laporan sejak kebelakangan ini yang mendakwa beliau telah meninggalkan Malaysia secara haram dan telah secara haram memasuki United Kingdom, Musa berkata: "Kesimpulannya adalah bahawa saya telah menjadi orang buruan dan sengaja menjadikan diri saya tidak dapat dihubungi pihak berkuasa dalam siasatan berkaitan kejadian di Istana Negeri pada 10 Mei malam serta perkara lain berkaitan.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri pada 10 Mei selepas BN Sabah memperoleh 31 kerusi, majoriti mudah untuk membolehkannya membentuk kerajaan.

Namun, beliau kehilangan majoriti mudah ketika UPKO, parti komponen BN, dan beberapa anggota dewan undangan negeri dari Umno melompat kapal dan menyokong pembangkang . Ini membuka laluan kepada Mohd Shafie, yang mengetuai Parti Warisan Sabah, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei.- Bernama


Tiada ulasan: