Isnin, 4 Jun 2018

KJ calon terbaik jadi Presiden Umno, kata Dr Mahathir

THE MALAYSIAN INSIGHT

KJ calon terbaik jadi Presiden Umno, kata Dr Mahathir
Khairy Jamaluddin antara nama yang disebut-sebut untuk bertanding bagi jawatan Presiden Umno.
 
KHAIRY Jamaluddin adalah calon terbaik untuk memimpin Umno sekarang, kata Dr Mahathir Mohamad, ketika parti orang Melayu itu mencari kekuatan baru selepas terpukul dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Saya rasa Khairy calon terbaik... (jawatan) Presiden UMNO ialah Khairy Jamaluddin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pakatan Harapan Kedah di Alor Setar, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu membuat kenyataan tersebut ketika diminta mengulas apakah Umno perlu masa untuk pulih semula selepas kalah PRU14.

Khairy minggu lalu mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden Umno, dan bukan jawatan lebih tinggi presiden atau timbalannya seperti yang didesak oleh sebahagian akar umbi yang mahu parti itu berubah total, selepas Barisan Nasional kalah PRU14.

Umno akan mengadakan pemilihan parti hujung bulan ini, yang pertama sejak 2013 dan yang pertama mempertandingkan semua jawatan dalam parti sejak 1987.

Pemangku presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi setakat satu-satunya calon yang mengesahkan bertanding jawatan presiden. Ada juga ura-ura mahu memajukan Tengku Razaleigh Hamzah dan Mustapa Mohamed bertanding jawatan tertinggi itu.

Hishammuddin Hussein yang kini memangku jawatan timbalan presiden belum lagi membuat keputusan dan ada laporan beliau mungkin tidak akan bertanding apa-apa jawatan, termasuk tidak mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya sekarang.

Selain Khairy, sekurang-kurangnya lima pemimpin sudah mengumumkan mengintai tiga kerusi naib presiden.

Mereka ialah Ahli Majlis Tertinggi, Abdul Johari Ghani yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan; pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman dan bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid.

Pemilihan Umno kali ini dijangka hangat kerana barisan kepimpinan yang terpilih nanti menggalas tanggungjawab memulihkan parti dan Barisan Nasional yang ditunjanginya, selepas rakyat menolak mereka dalam PRU14.

Pemilihan peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi akan berlangsung pada 30 Jun ini, seminggu selepas pemilihan peringkat sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Pencalonan bagi pemilihan Umno dibuka sehingga 17 Jun ini.

Tiada ulasan: