Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) menggesa agar ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai teraju utama gandingan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (Harapan) selayaknya diberi peluang menerajui Kementerian Belia dan Sukan.
“Manakala Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula wajar diketengahkan sebagai timbalan menteri belia dan sukan,” kata Penolong Setiausaha AMK, Syed Badli SHah Syed Osman dalam suatu kenyataan hari ini.
Syed Badli juga berharap agar isu penyelewengan dana RM100 juta melibatkan pegawai KBS dapat diuruskan dengan baik di bawah kepimpinan baharu kelak.
“Umum mengetahui kementerian ini dahulu diterajui oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin.
“Isu penyelewengan dana RM100 juta melibatkan pegawai Kementerian Belia dan Sukan adalah satu bukti kelemahan urustadbir KJ (Khairy Jamaludin) dalam menerajui kementerian tersebut.
Setiausaha AMK Selangor itu turut yakin dengan gandingan kedua-dua pemimpin muda ini.
“Seorang anak muda yang segar dengan idea-idea bernas, tentunya gandingan beliau (Syed Saddiq) bersama Nik Nazmi mampu memperkukuhkan peranan belia di negara ini.
“Saya yakin gandingan mantap ini akan berjaya mengangkat peranan belia ke satu tahap yang jauh lebih baik dari yang sebelumnya.
“Justeru itu sudah sampai masanya Pakatan Harapan mengiktiraf peranan anak muda dengan mengangkat mereka yang layak untuk berada dalam kabinet,” kata Syed Badli lagi.
Setakat ini KEADILAN mempunyai tiga orang wakil dalam kabinet.
Mereka adalah Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memegang portfolio Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat serta timbalan perdana menteri, Zuraida Kamaruddin yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan