Bernama ·
PUTRAJAYA
– Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada
Khamis mengingatkan diplomat Korea Utara agar jangan membuat kerenah
dengan menuduh Malaysia bersekongkol dengan organisasi atau negara lain
dalam kes pembunuhan warga Korea Utara.
Merujuk kepada
kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim
Jong-un, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kes
berprofil tinggi itu memerlukan tumpuan teliti bukan hanya dari segi
siasatan tetapi juga dalam hubungan antara dua negara.
Sebagai
diplomat, Ahmad Zahid berkata, mereka seharusnya sedar sama ada secara
diplomatik atau komunikasi dua negara, menuduh kononnya Malaysia
bersekongkol dengan negara lain dalam isu itu adalah tidak baik kerana
ia berkaitan dengan hubungan antara negara.
“Kepada diplomat Korea
Utara sama ada yang berada di sini atau di peringkat organisasi
antarabangsa yang lain jangan anggap Malaysia sebagaimana anggapan
mereka terhadap negara yang pernah mereka perkotak-katikkan,” katanya.
Ahmad
Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri di sini hari
ini. Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri
Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.
Duta
Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol dalam satu sidang media sebelum
ini dilaporkan memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai
“sesuatu untuk disembunyikan” dan mendakwa Malaysia “berpakat dan
bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar” dalam pengendalian kes kematian
seorang warga Korea Utara.
Malaysia menjadi tumpuan dunia apabila
Jong-nam, yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, dibunuh ketika
sedang menunggu penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa
KL2 (klia2), pada 13 Februari lepas.
Dalam perkembangan sama,
Ahmad Zahid berkata delegasi peringkat tertinggi Korea Utara yang
dilaporkan berkunjung ke Malaysia bagi membincangkan berkaitan tuntutan
mayat dan penahanan warganya Ri Jong-Chol telah bertemu dengan
Kementerian Luar pada Isnin lalu.
Tanpa menjelaskan butiran
perbincangan tersebut, beliau berkata, pertemuan itu telah berlaku
sambil menegaskan tiada keperluan untuk delegasi itu bertemu dengan
pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Berhubung status sama ada
Jong-chol, suspek ketiga kes itu akan didakwa di mahkamah atau
dibebaskan selepas tempoh tahanannya akan berakhir esok, Ahmad Zahid
berkata perkara itu akan diputuskan Jabatan Peguam Negara dalam masa
terdekat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan