Sikap wakil rakyat yang mewakili kerajaan ini mengakibatkan kerajaan yang ada pada hari ini kelihatan lemah kerana sering mengelak untuk berhadapan dengan pengamal media
KUALA LUMPUR: Menteri-menteri ‘takut’ dengan wartawan yang berada di lobi Parlimen kerana tidak bersedia untuk menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan secara spontan, kata bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu Zainuddin Maidin.
Menurut beliau sikap wakil rakyat yang mewakili kerajaan ini mengakibatkan kerajaan yang ada pada hari ini kelihatan lemah kerana sering mengelak untuk berhadapan dengan pengamal media.
“Saya sebagai bekas menteri penerangan dan sebelumnya wartawan, apabila saya menjadi menteri, rupa-rupanya menteri-menteri takut menghadapi wartawan.
“Masing-masing takut untuk bercakap, sebab mereka tidak tahu macam mana nak berhadapan dengan wartawan.
“Mereka pengecut, takut kepada wartawan sebab mereka sendiri tidak tahu apa yang mahu dijawab dan selalunya perkara itu (reaksi) memerlukan persediaan, sebab itu kita mempunyai kerajaan yang lemah.
“Ini bukan berlaku semasa saya menjadi menteri, sekarang pun. Bukan semua menteri berani berhadapan dengan wartawan untuk menjawab.
“Ada yang tidak membaca, tidak tahu apa yang berlaku jadi mereka takut kepada wartawan,” katanya kepada BeritaDaily.
Zainuddin berkata demikian bagi mengulas tindakan Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia yang mengharamkan pengamal media berada di lobi utama bangunan Parlimen, iaitu ruang yang digunakan untuk mendapatkan reaksi daripada ahli politik tentang isu semasa.
Semua pengamal media sebaliknya diarahkan untuk berada di bilik media sahaja.
Pandikar ketika mengumumkan larangan tersebut dibuat atas mempertimbangkan faktor keselamatan dan tidak selesa melihat jumlah wartawan, juru gambar dan penyunting video disifatkannya sebagai ‘berkhelah’.
Mengulas lanjut Zainuddin yang juga merupakan bekas Menteri Penerangan berkata Speaker Dewan Rakyat itu mempunyai tanggapan negatif kepada wartawan.
Malah katanya lagi, kewujudan media portal pada pada masa ini membezakan keperluan mencari sumber berita seperti dulu memerlukan kepantasan dalam menyiarkan maklumat khususnya berkaitan dengan isu semasa.
“Speaker Dewan Rakyat berfikiran negatif terhadap wartawan, tidak sezaman.
“Keadaan hari ini keperluan kepada kecepatan untuk mendapat berita sekarang ini lebih daripada dulu lagi.
‘Sebab dulu, tidak ada media portal dan alternatif jadi bolehlah tangguh buat berita lambat, sekarang ini persaingan sangat tinggi.
“Kadang-kadang pembangkang pun membuat komen di atas sesuatu yang belum sah tapi pengesahan itu lewat datang daripada pihak kerajaan.
“Jadi adanya pemberita di sekitar lobi adalah untuk mendapatkan berita dengan cepat supaya dapat disebarkan yang benar, untuk dapat penjelasan daripada pihak menteri contohnya, dengan segera apabila ada tuduhan daripada pembangkang,” ujarnya lagi.
Ekoran larangan yang dibuat beberapa hari lalu, sejumlah wartawan mengemukakan petisyen kepada Pandikar Amin Mulia bagi memohon Spaker itu menarik kembali keputusannya dan memudahkan pengamal media untuk menjalankan tugas mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan