Yeo Bee Yin menolak tuduhan berlaku penyelewengan
dalam pembayaran Skim Mesra Usia Emas di bawah Yayasan Warisan Anak
Selangor susulan laporan polis dibuat Datuk Seri Jamal Yunos semalam.
PETALING JAYA: Adun DAP hari ini menafikan tuduhan Datuk Seri Jamal Md Yunos tentang berlaku penyelewengan terhadap dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin hari ini tampil membawa 10 fail berisi dokumen setebal 60cm berkaitan pembayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di bawah yayasan itu, yang dibuatnya.
“Jamal mencabar saya untuk membekalkan bukti bagi menafikan fitnah ini. Inilah buktinya.
“Kami terbuka, telus dan tidak ada apa-apa yang mahu disorok. Bukan saja kami boleh tunjukkan akaun, resit bagi setiap bayaran pun kami boleh tunjuk,” katanya.
Yeo berkata dokumen yang ditunjukkan Jamal adalah dokumen yang dikemukakannya kepada pejabat tanah dan daerah.
“Kolum terakhir ialah tarikh dokumen diterima semula, bermakna kami sudah mengagihkan dana, manakala resit ditandatangani bersekali dengan kad pengenalan pewaris si mati dan sijil kematian diserahkan kepada pejabat tanah dan daerah,” katanya.
Jamal yang juga pengerusi Gerakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia membuat laporan polis terhadap Yeo, semalam dan mendakwanya melakukan penyelewengan terhadap dana Yawas.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mendakwa Yeo sepatutnya menyerahkan wang diperuntukkan kepada waris si mati, seorang rakyat Selangor, bukan untuk tujuan lain atau peribadi.
Jamal mendakwa Yeo mengeluarkan wang peruntukan itu secara berterusan meskipun tiada individu yang meninggal dunia.
Lebih memburukkan keadaan, Jamal berkata ada waris si mati yang tidak mendapat wang berkenaan dan maklumat diterimanya menerusi aduan beberapa mangsa.
Sementara itu, Yeo mempersoalkan tindakan Jamal yang tiba-tiba membuat laporan polis terhadapnya selepas beliau mempersoalkan kelayakan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menaungi Program Permata Negara (Permata).
“Saya menuntut Rosmah meletakkan jawatan sebagai penaung Permata sepanjang seminggu lalu.
“Sekarang saya terus menjadi sasaran Jamal. Adakah ini satu kebetulan? Siapa sebenarnya bos Jamal?
“Adakah orang di sebalik Jamal ini cuba mengganggu saya supaya tidak lagi membangkitkan isu Permata?
Ataupun ini taktik untuk mengalih tumpuan orang ramai daripada Permata?,” soalnya.
Pada 15 Mac, Yeo berkata kewangan bagi melaksanakan program Permata yang menggunakan dana awam perlu lebih telus.
Ia susulan Rosmah menyeru orang ramai supaya tidak meragui program Permata dan sumber kewangannya.
Yeo pada Oktober tahun lalu melawat sebuah tadika kelolaan Permata atas jemputan pegawai khas kepada perdana menteri, Datuk Rizal Mansor.
Rizal menyifatkan Yeo seorang yang “kolot” dan “tidak cerdik”.
Yeo bukan sasaran pertama Jamal dalam tuduhan penyelewengan Yawas, kerana sebelum ini Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok turut didakwa menyeleweng dana Yawas berjumlah hampir RM2 juta, yang sepatutnya digunakan untuk SMUE.
Kok menafikan dakwaan Jamal dan berkata sebahagian pejabat ahli Parlimen di Kuala Lumpur dipertanggungjawabkan mengagihkan dana itu memandangkan ramai rakyat Selangor tinggal di ibu negara.
Kok dilaporkan berkata, beliau sedang mempertimbangkan tindakan menyaman Jamal atas dakwaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan