Bernama
PUTRAJAYA
– Mengikut indikasi cuaca, corak angin serta tindakan yang dirangka
dalam memadam kebakaran hutan, Malaysia dijamin bebas daripada dilanda
jerebu rentas sempadan tahun ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam
Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau
berkata laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan
fenomena El Nino dan La Nina yang membawa hujan dan kepanasan melampau
tidak akan berlaku tahun ini, dibantu keadaan neutral di Lautan Hindi
yang akan berterusan sehingga akhir tahun.
“MetMalaysia juga
melaporkan bahawa tiada perkara (cuaca) yang abnormal akan berlaku
sebagaimana terjadi pada 2014 dan 2015, yang dilihat antara pendorong
berlakunya jerebu.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga akan mengambil
tindakan drastik menghalang masyarakat melakukan pembakaran terbuka
bermula bulan depan kerana tidakan itu boleh menyebabkan situasi jerebu
berkelompok terjadi seperti yang berlaku di Baram, Sarawak sebelum ini,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas
mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering
Kebangsaan di sini hari ini yang turut disertai Ketua Pengarah Jabatan
Alam Sekitar Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.
Beliau
berkata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga telah membina telaga air
tanah di 67 kawasan kering yang berisiko terbakar selain pembinaan
‘check dam’ atau sekatan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi
menghalang kebakaran di tanah gambut.
Wan Junaidi berkata
keyakinan Malaysia bebas jerebu juga berdasarkan tindakan efisien pihak
berkuasa Indonesia dalam mendepani cabaran itu, antaranya menambah
bilangan helikopter yang boleh melakukan operasi bom air.
Katanya
Indonesia juga telah menubuhkan pasukan petugas khas yang akan bertindak
mencari dan memadam segera kebakaran yang berlaku di kawasan-kawasan
sering berlaku kebakaran hutan seperti di Kalimantan.
Malaysia juga komited menawarkan pesawat Bombardier untuk digunakan dalam operasi memadam kebakaran, katanya.
Pesawat jenis Bombardier CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM) yang boleh membawa sehingga 3,000 liter air setiap enam
saat itu pernah digunakan dalam operasi memadam kebakaran hutan di
Indonesia pada 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan