ANTARAPOS.COM
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor mengumumkan penyusunan semula
portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan
berkuatkuasa Ahad ini.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatan
dan tugas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri
yang disandang Datuk Abd Latif Bandi akan dipangku Datuk Md Jais Sarday.
Penyusunan itu susulan Abd Latif yang mengambil cuti sehingga selesai
siasatan terhadap kes rasuah dikaitkan ahli keluarga dan pegawai
khasnya.
Sebelum ini, Md Jais memegang portfolio Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Katanya, bagi memastikan keberkesanan urusan kerajaan negeri, portfolio
yang sebelum ini disandang Md Jais akan diletakkan di bawah seliaan
Datuk Ayub Rahmat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam
Sekitar negeri itu.
Sementara itu, beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan
Industri Asas Tani , Ismail Mohamed akan diamanahkan portfolio
Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi.
"Pengalihan dan perubahan bagi ketiga-tiga pengerusi jawatankuasa itu
berkuatkuasa mulai Ahad dan akan menjadi tambahan kepada portfolio
semasa yang dipegang Ayub dan Ismail.
"Penyusunan semula semua pengerusi jawatankuasa tersebut telah mendapat
perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar," katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Menurut Khaled lagi, penyusunan semula itu sehingga selesai proses
siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes
melibatkan ahli keluarga dan pegawai khas Abd Latif.
"Abd Latif Bandi kini bercuti dari tugas rasmi kerajaan Johor sehingga siasatan tersebut selesai," katanya.
Tegasnya, pelantikan Md Jais dilihat sesuai dan tepat memandangkan
beliau mempunyai pengalaman luas dan merupakan Exco paling kanan dalam
pentadbiran kerajaan negeri itu.
"Portfolio lain dalam kerajaan negeri Johor adalah seperti sebelum ini dan tidak berlaku sebarang perubahan," katanya.
Khaled berkata semua keputusan dan penyusunan semula itu diambil bagi
memastikan segala urusan kerajaan negeri dapat berjalan lancar dan baik.
Pada 25 Februari lalu, SPRM bertindak menahan enam individu dipercayai
terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di
negeri itu.
Antara enam yang ditahan ialah anak dan pegawai khas kepada seorang
pegawai kerajaan negeri Johor, dua pemaju dan masing-masing seorang
peguam dan orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal rasuah
bernilai RM15.5 juta itu.
Turut ditahan seorang kontraktor berumur 46 tahun pada Selasa yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan hartanah tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan