JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga tempatan yang ditahan atas tuduhan
membunuh dua beranak di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram pada 21 September
lalu, dijumpai mati tergantung di dalam lokap Pusat Tahanan Reman Ulu
Choh, di Johor Bahru pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Supt Noor Hashim Mohamad berkata R.
Subramaniam ditemui tergantung di tingkap kecil bertinggian kira-kira
tujuh kaki oleh Warden Penjara ketika membuat rondaan di Blok B pusat
tahanan berkenaan kira-kira jam 3.06 pagi.
"Petugas itu dengan bantuan petugas lain segera membuka pintu sel
berkenaan dan bertindak memotong kain yang digunakan untuk menggantung
diri. Tahanan kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail sebelum disahkan
meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 29 September lepas, Subramaniam, 20, dan rakannya, L. Uvaneswaran,
20, kedua-duanya penganggur, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor
Bahru atas pertuduhan membunuh M. Mariayee, 56, dan anak perempuannya,
C. Durga Devi, 17, di No 51, Jalan Beladau 40, Taman Puteri Wangsa,
antara 10 pagi dan 11 pagi 21 September lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca
bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati
jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan