SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof
Datuk Dr Mohamad Kadim Suardi menafikan institusi itu menerima sebarang
geran daripada Open Society Funds (OSF) yang ditubuhkan oleh jutawan
Amerika Syarikat (AS) George Soros.
Beliau yang dipetik Borneo Post bagaimanapun berkata, para penyelidik
atau pensyarah universiti itu mungkin menerima dana melalui 'saluran
tidak rasmi' tanpa pengetahuan pihak pengurusan universiti.
"Setakat yang saya tahu, Unimas tidak menerima apa-apa pemberian atau
bantuan kewangan daripada OSF. Kami tidak mempunyai apa-apa kaitan
dengan OSF," beliau dipetik sebagai berkata.
"Ia mungkin diberikan dalam bentuk geran swasta untuk pensyarah atau
penyelidik dengan universiti tidak tahu-menahu mengenainya.
"Dalam apa jua dana yang diterima, kami akan tentukan punca dan
tujuannya. Kami periksa segala-galanya. Kita tidak terima sebarangan
tawaran dana atau geran," katanya.
Kadim berkata demikian mengulas mengenai kandungan laporan OSF 2014
yang menyebut Unimas sebagai salah sebuah organisasi penerima dana.
Namun Kadim tidak menolak terdapat kemungkinan sebahagian pensyarah
terlibat dalam aktiviti luar universiti atau bekerja dengan
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kami tidak memantau aktiviti pensyarah di luar universiti. Dalam
keadaan biasa, kami tidak memeriksa mereka. Mereka adalah pensyarah,
kita perlu percaya mereka," ujarnya.
"Mereka sepatutnya tahu semua peraturan dan bagaimana untuk bertindak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan