Ahad, 6 November 2016

Tindakan Jamal tidak ada kena mengena dengan Umno - Annuar Musa

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Umno tidak perlu dipersalahkan bersabit tindakan Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM), Datuk Jamal Md Yunos yang mengadakan himpunan di hadapan pejabat Malaysiakini semalam.
 
Menurut Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa, tindakan oleh Ketua Bahagian Umno Sungai Besar itu tidak mencerminkan pendirian sebenar parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak itu.
 
"Kenapa tanya saya? Saya tidak kena mengena dengan Jamal (Baju Merah). Itu tidak kena mengena dengan Umno," katanya selepas selesai sidang media sempena Himpunan Penerangan Umno Selangor 2016 di pejabat Umno Selangor hari ini.
 
Semalam Jamal bersama peserta Himpunan Merah mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Malaysiakini bagi membantah penerimaan dana oleh portal pro-pembangkang itu daripada Pertubuhan Open Society Foundation (OSF) yang dimiliki hartawan terkemuka Amerika Syarikat George Soros.
 
Himpunan berkenaan menuntut supaya portal berkenaan mendedahkan butiran penyata kewangan dan dokumen berkaitan.
 
Dalam pada itu, Annuar berkata Umno tidak pernah membincangkan mengenai tindakan Jamal yang mengadakan himpunan dengan menggunakan ahli-ahli dan penyokong Umno.
 
"Kita tidak pernah bincang, itu bukan Umno, itu Jamal," katanya.
 
Sebelum ini Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata tingkah laku Jamal tidak melambangkan sikap parti itu.
 
Ia ekoran tindakan Jamal apabila mengadakan sidang media dalam tandas bangunan Umno Selangor Shah Alam pada awal Oktober lalu yang mencampak surat tuntutan permohonan maaf BERSIH ke dalam lubang tandas. 
 
BERSIH menuntut Jamal membuat permohonan maaf apabila ahli Umno itu mendakwa pertubuhan itu diresapi militan IS.
 
Minggu lalu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Umno dibenarkan menyertai perhimpunan anjuran gerakan itu namun akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyertai perhimpunan BERSIH 5, 19 November depan. 


Tiada ulasan: