Usaha memujuk Pas supaya bersetuju dengan taktik satu lawan satu dalam pilihanraya umum melawan Barisan Nasional (BN) ada harapan.
Itu kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Bagaimanapun cubaan demi cubaan bertemu dan berbincang dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih belum menjadi realiti.
Walaupun usaha memujuk itu sudah berlaku sejak pertemuan mereka daam solat jenazah ghaib Allahyarham Datuk Haron Din namun ia tergendala beberapa kali ekoran keuzuran Abdul Hadi.
Menurut sumber, Abdul Hadi bersetuju berjumpa dengan Muhyiddin kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai rakan dan tidak pernah ada masalah besar dengan Pas selama berada di dalam UMNO.
Pas seperti ketetapan sebelum ini memang bersetuju berjumpa dan berbincang dengan rakan pembangkang lain cuma 'berpatah arang' dengan DAP.
Mursyidul Am Pas yang baharu, Hashim Jasin sendiri memaklumkan demikian dan kerjasama boleh dibuat sekiranya DAP tidak lagi 'mengacau' rumahtangga Pas seperti sebelum ini.
Malah kenyataan Hasim dijawab segera oleh pemimpin DAP, Lim Kit Siang dengan nasihat Hashim jangan sebar cerita 'karut' mendakwa DAP punca perpecahan mereka dalam Pakatan Rakyat tempohari.
Jadi apa pelan kerjasama yang ditawarkan oleh Muhyiddin kepada Pas dalam tanpa melibatkan DAP dalam PRU-14 nanti?
Bagaimana PPBM boleh mewakili Pakatan Harapan yang mana DAP dan PKR jauh lebih senior daripada mereka dalam kem pembangkang.
Apakah Muhyiddin boleh memberi jaminan DAP tidak menentang hudud yang menjadi perjuangan Pas?
Adakah Muhyiddin boleh memberi jaminan parti serpihan Pas, Parti Amanah Nasional tidak panas buntut 'duduk serumah' sedangkan mereka baharu sahaja 'bercerai'?
Lebih penting, sama ada Muhyiddin dapat menjamin kedudukan Pas sebagai parti senior dalam kerajaan sekiranya PH memerintah Malaysia.
Pas sudah tentu tidak mahu dijadikan 'kuda tunggangan' yang akhirnya dilepaskan selepas pakatan pembangkang dahulu, Pakatan Rakyat menang banyak kerusia pada PRU-12 dan 13 lalu.
Dahulu Pas terlalu terlalu memberi muka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rela bekerjasama tetapi akhirnya 'berkelahi' semula dengan DAP.
Malah ramai ahli-ahli Pas beranggapan Pas berpecah dua selepas penubuhan PAN gara-gara DAP.
Parti logo bunga raya itu baru sahaja mengumumkan senarai kepimpinannya semalam sedangkan DAP dan PKR sudah berpuluh tahun mengharungi banyak pilihanraya sejak dahulu lagi.
Dalam keadaan PH masih gagal memilih siapa Perdana Menteri jika mereka memerintah, apa yang Muhyiddin secara peribadi boleh tawarkan kepada Pas?
Perlu diingat Dewan Pemuda Pas Pusat sudah membuat keputusan mendesak pimpinan parti Pas supaya jangan bekerjasama dengan DAP atau rakan-rakan sekutunya dalam PRU-14.
Keperluan mendesak kepada PH kerana kegagalan satu lawan satu akan hanya menyebabkan mereka gagal melawan BN sedangkan PRU-14 ini merupakan pilihanraya penentu kepada pembangkang di negara ini.
Apa pun, ada penganalisis politik melihat Pas dilihat seakan-akan membuka ruang perbincangan semula dengan PH kerana mahu 'main tarik tali' dengan UMNO gara-gara isu pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) 355.
Dalam Dewan Rakyat, Pas tertunggu-tunggu bila mereka diberi kebenaran membentangkan RUU 355 tetapi sekarang belum nampak hasilnya.
Melalui keadaan yang Pas mahu bekerjasama dengan PH, mereka berharap UMNO berasa bimbang dan berharap UMNO akan melobi dan membenarkan Pas membentangkan RUU 355.
"Dulu kata sebelum bajet tetapi selepas bajet pun tidak ada usaha Dewan Rakyat membenarkan RUU 355d dibentangkan sedangkan sebelum itu momentum sokongan RUU 355 bukan main dahsyat dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri yang semuanya bersetuju," ujarnya penganalisis politik itu hari ini.
Menurutya, walaupun melihat Pas masih ada respon positif untuk diberi kebenaran membentangkan RUU 355 pada sesi Dewan Rakyat lain namun pada riak wajah pemimpinnya ada sedikit kekecewaan.
Jadi masing-masing bermain politik demi survival politik masing-masing sekarang ini selagi gendang PRU-14 belum dipalu.--MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan