SHAH ALAM: Tindakan agresif Datuk Seri Jamal Md Yunos terhadap
penganjur serta penyokong BERSIH 5, menjejaskan nama Barisan Nasional
(BN), kata Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie.
Sebagai pemimpin Umno, kata Heng, Jamal mencabuli semangat BN yang menyokong keamanan, keharmonian dan perpaduan.
Ujarnya, sikap Jamal juga yang sering mencetuskan suasana tegang
akhir-akhir ini tidak ubah seperti pembangkang yang memberi kesan pada
BN dan imej negara.
"Beliau bertindak seperti pembangkang atau kumpulan pro-pembangkang
yang tidak melakukan sesuatu yang konstruktif tetapi sebaliknya
mewujudkan huru-hara serta menjejaskan imej BN dan negara," katanya
menerusi kenyataan medianya, hari ini.
Heng juga menganggap insiden Jamal yang mendakwa dikasari peserta BERSIH 5 senagai lucu.
"Adalah lucu melihat seseorang seperti Jamal, yang mahu 'berperang dan
pertumpahan darah' sepanjang masa, akhirnya ditumbuk di hidung.
"Kami hanya boleh kata, padan muka dia,” katanya.
Heng juga mahu pihak berwajib mengawasi Jamal yang padanya tidak mustahil akan bertindak lebih agresif selepas ini.
Jamal sebelum ini memberi amaran Gerakan Baju Merah akan turut
mengadakan himpunan jika BERSIH 5 tetap meneruskan agenda mereka
membanjiri ibu kota Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar menjangkakan peserta himpunan Baju Merah mencecah 300,000 orang.
Polis dalam pada itu, memberi amaran akan bertindak ke atas sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang negara.
BERSIH 5 dijangka berkumpul di enam lokasi seperti Dataran Maybank
Jalan Tun Perak; Dataran Maybank Jalan Maarof, Bangsa; Jalan Sultan;
Dataran DBKL; SOGO dan KL Sentral.
Sementara Gerakan Baju Merah akan berkumpul di Masjid Jamek; Masjid
Negara; PWTC; SOGO; Cahaya Suria (Depan Dataran Maybank; Maybank Bangsar
dan Padang Merbok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan