Isnin, 9 Mei 2016

Tiada Adun Pas lompat parti sertai Amanah

Tiada Adun Pas lompat parti sertai Amanah


KUALA LUMPUR - Pas  menyangkal dakwaan 10 Adun parti itu akan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) selepas pemecatan bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebaliknya ia hanya propaganda Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah bagi mewujudkan suasana kelam kabut dalam Pas.

"Saya percaya tiada ahli Pas yang akan lompat parti," katanya ketika ditemui media selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kelantan Utilities Mubaarakan Holding Sdn Bhd dengan Rising Promenade Sdn Bhd di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/politik/siapa-10-yb-sokong-husam-1.518638]
Semalam, Wan Rahim dilaporkan berkata Amanah akan mengumumkan 10 wakil rakyat Pas  yang bakal lompat parti selepas Husam menerima surat pemecatannya secara rasmi.

Wan Rahim turut mempertahankan kenyataannya itu sebagai bukan cakap-cakap kosong.

Husam, yang juga Adun Salor dipecat berkuatkuasa 23 April lalu selepas Jawatankuasa Tataterib Pas mendapati beliau melanggar perlembagaan parti.

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, Husam masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan kepada Jawatankuasa Pas Pusat.

"Saya tidak boleh komen (tentang pemecatan) kerana saya salah seorang Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. Sebab itu kami tidak boleh komen sebab kami macam mahkamah rayuan.

"Dari segi perlembagaan, mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin, boleh merayu kepada Jawatankuasa Pas Pusat dalam tempoh sebulan. Kalau rayuan tidak diterima oleh Pas pusat, dia boleh bawa lagi rayuan ke Majlis Syura," katanya.


Tiada ulasan: