Ahad, 8 Mei 2016

PRN Sarawak buktikan satu lawan satu perlu di K Kangsar dan Sg Besar, kata penganalisis

MALAYSIA DATELINE


CEO Ilham Centre Hisomuddin BakarCEO Ilham Centre Hisomuddin Bakar

Parti-parti pembangkang dituntut supaya mengambil pengajaran pilihan raya Sarawak untuk mempastikan mereka tidak bertembung sesama sendiri di dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar nanti.

Penganalisis Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, peratusan keluar mengundi di Sarawak dan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya itu membuktikan satu lawan satu antara pembangkang dengan Barisan Nasional (BN) adalah jalan penyelesaiannya.

"Bagi saya kadar keluar mengundi yang kecil di Sarawak adalah satu protes dari pengundi menolak pertandingan sesama sendiri dan sikap parti politik yang mementingkan parti mereka sendiri berbanding bercakap soal kebajikan rakyat keseluruhannya.

"Ketika parti Umno lemah dengan pelbagai skandal, parti pembangkang pula bergaduh sesama sendiri," kata Hisomuddin kepada Malaysia Dateline.

Selain marah kepada pertandingan sesama sendiri, pengundi juga sudah letih dengan politiking yang terlalu kuat antara dan dalaman parti politik, katanya.

"Saya namakan ia sindrom fatiq atau letih yang kini semakin membesar sehingga mencapai 30% dari jumlah pengundi," katanya lagi.

Bagi Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, pusat kajian bebas yang berwibawa itu, pertandingan tiga penjuru juga akan menyukarkan usaha Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan sistem dwi parti di negara ini.

"Cadangan ini bukan Pakatan Harapan sahaja tetapi semua parti pembangkang termasuk PAS," kata beliau.

Pakatan Harapan dicadangkan agar turut berbincang dengan PAS agar formula menang-menang boleh dicapai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa memanggil satu pilihan raya kecil selepas kedua-dua ahli parlimen kawasan berkenaan meninggal dunia dalam kemalangan helikopter ketika membuat kempen dalam pilihan raya Sarawak.

Ini kerana semua 222 ahli Parlimen mengangkat sumpah jawatan pada penggal pertama Parlimen ke-13 pada 24 Jun 2013. Dalam tempoh tiga tahun selepas itu pilihan raya kecil tidak perlu diadakan.

Pakar Perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, mengikut Perkara 54 fasal 1 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jika kekosongan luar jangka berlaku dalam Dewan Rakyat, maka ia hendaklah diisi dalam masa 60 hari selepas tarikh pengosongan jawatan dibuat.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang juga ahli parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak petang Jumaat lalu.

Turut terkorban adalah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang juga ahli parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad.

Dalam pilihan raya umum 2013 lalu, kedua-dua kawasan itu ditandingi oleh PAS melawan calon BN namun kedua-dua calon PAS tewas.

Calon PAS di Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim tewas di tangan Wan Mohamad Khairil dengan majoriti 1082 manakala calon PAS Mohamad Salleh Husin tewas kepada Noriah dengan majoriti 399 undi sahaja.

Pada dasarnya, kerusi yang ditandingi oleh PAS akan ditandingi oleh Amanah bagi mewakili Pakatan Harapan dalam pilihan raya selepas pakatan baru itu dibentuk selepas pecahnya Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: