Selasa, 10 Mei 2016

Lagi akar umbi PAS mahu kerjasama semula DAP, PKR

MALAYSIAKINI




PAS cawangan Kajang Sutera hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bagi untuk kerjsama semula antara PAS, PKR dan DAP seperti yang terjalin sebelum ini pada pilihan raya umum tahun 2008 dan 2013.

Ketua cawangan tersebut, Sharif Mahmud berkata, pihaknya berharap para pemimpin PAS akan menerima pelawaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd Azmin Ali untuk mengadakan kerjasama semula.

"Pengalaman semasa pilihan raya negeri Sarawak menunjukkan bahawa jika berlaku pertandingan tiga penjuru, Barisan Nasional (BN) akan mencapai kemenangan.

"Parti-parti pembangkang mesti berusaha untuk memastikan BN dapat dikalahkan dan mengelak untuk bergaduh sesama sendiri," kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dari PAS turut menzahirkan pendapat beliau untuk PAS menyambut pelawaan Azmin agar parti Islam itu kembali menyertai pakatan pembangkang bersama PKR, DAP dan AMANAH.

Mahfuz berkata, beliau berpendapat pelawaan Azmin dibuat selepas menyedari kesan akibat kekalahan pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak.

"Saya sangat mengharapkan pimpinan PAS akan menyambut baik pelawaan Azmin demi Malaysia dan rakyat untuk bersama dalam satu pakatan pembangkang PAS, PKR, DAP dan AMANAH serta parti-parti lain dan NGO.

"Kepada semua pemimpin parti parti politik saya mengharapkan dapat merendahkan ego, meninggikan akal mencari panduan, meneguhkan pegangan dan menggenggam keazaman untuk perubahan demi rakyat dan Malaysia tercinta," kata Mahfuz lagi.

Terdahulu, Azmin mengajak PAS untuk kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Mengulas lanjut, Sharif menambah, sebagai rakyat Selangor, pihaknya mahu melihat gabungan PAS, PKR dan DAP terus mentadbir negeri ini selepas pilihan raya umum akan datang.

"Tanpa kerjasama ini Barisan Nasional mungkin akan kembali berkuasa.

"Kami berharap pucuk pimpinan PAS akan juga memikirkan masa depan negeri Selangor.

"Jangan hanya memikirkan masa depan negeri-negeri Kelantan dan Terengganu sahaja walau pun ramai pemimpin-pemimpin PAS adalah dari negeri itu," tambahnya lagi.


Tiada ulasan: