Jumaat, 13 Mei 2016

Elak salahguna kuasa, Ketua Polis digesa jelas kuasa SB kepada umum

Liew-Chin-Tong
Roketkini.com


KLUANG: DAP Johor menuntut agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menerangkan secara terperinci fungsi, kuasa dan tugas Cawangan Khas (SB) kepada umum bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran hak peribadi orang awam.

Selain itu, Khalid juga digesa menjelaskan kesahihan dakwaan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa kerajaan telah mengintip telefon peribadi miliknya.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, berkata Khalid, selepas pertemuannya dengan Tunku Ismail semalam, tidak menyatakan apa-apa berhubung isu tersebut.

“Khalid tidak menjelaskan sama ada benar atau tidak telefon Tunku Ismail telah diintip dan pergerakannya dipantau. Isu ini melibatkan kepentingan awam dan tidak boleh ‘diselesaikan’ secara tertutup tanpa akauntabiliti kepada orang ramai.

“Sebarang pemantauan ke atas Tunku Ismail dan bapanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, atau mana-mana ahli politik menunjukkan penyalahgunaan kuasa polis untuk tujuan politik,” katanya dalam kenyataan media.

Baru-baru ini, Tunku Ismail yang mesra dipanggil TMJ mendakwa bahawa SB melakukan intipan melalui telefon peribadi miliknya, malah Bukit Aman turut menyimpan fail mengenainya dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Susulan dakwaan itu, Ketua Polis Negara seperti dilapor media mengadakan pertemuan dengan TMJ di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru semalam, namun tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung isu itu kepada umum.

Jelas Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis, SB ditugaskan untuk mengumpul risikan keselamatan, namun tiada peruntukan undang-undang yang menerangkan fungsi dan kuasa mereka.

“Seperti yang dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin 2005, tidak ada akta digubal bagi mengawasi kuasa dan tanggungjawab SB. Malah, tidak wujud sebarang definisi terhadap maksud ‘risikan keselamatan’ yang digunakan dalam Seksyen 3(3).

“Laporan itu juga mencadangkan agar perkataan ‘keselamatan’ dalam akta itu didefinisikan sebagai ‘melindungi rakyat dari sebarang pengintipan, sabotaj, keganasan bermotifkan politik atau agama, keganasan perkauman dan serangan ke atas sistem pertahanan negara’.

“Walau bagaimanapun, TMJ secara jelas tidak jatuh di bawah mana-mana kategori tersebut,” kata Ahli Parlimen Kluang itu.

Menurut Bajet Kerajaan Persekutuan 2016, sebanyak 8,287 dari 141,583 jawatan dalam perkhidmatan polis diperuntukkan untuk SB, dengan anggaran sebanyak RM 492.358 juta. – Roketkini.com

Tiada ulasan: