Oleh Abu Hassan Adam
Puas juga aku cuba meyakinkan diri aku bahawa sebenarnya tidak ada perkara-perkara ‘sumbang’ yang berlaku mengenai isu IMDB. Tidak berlaku sebarag kejanggalan dalam pelaksanaan perniagaan yang dijalankan oleh IMDB. Dan tidak ada salah laku yang dilakukan oleh samada DS Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Menteri Kewangan atau Penasihat IMDB ataupun para ahli lembaga pengarah yang diamanahkan untuk mentadbirkan IMDB supaya dapat dibanggakan oleh negara
Semakin aku
berusaha untuk menyakinkan diri aku bahawa sebenarnya tidak ada apa-apa
yang berlaku, maka semakin kuat pula keyakinan bahawa sebenarnya ada
sesuatu yang tidak kena yang berlaku kepada IMDB. Aku lihat semakin kuat
‘pokok bergoyang’. Yang ‘menggoyang pokok-pokok’ berkenaan bukannya
angin sepoi-sepoi bahasa tetapi merupakan ribut taufan yang
berkemungkinan akan menghancur-leburkan negara kita. Dan ‘ribut’ yang
datang adalah ribut yang bersumberkan luar negara.
Walaupun ramai para pemimpin negara, khususnya yang menjadi
Menteri, Wakil rakyat BN ( samada ahli parlimen atau Ahli Dewan Undangan
Negeri) masih mempertahankan hujah mengatakan bahawa IMDB itu berada di
landasan yang betul namun hati kecilku ‘tidak mahu mengalah’ dan terus
merasakan bahawa sememangnya ada yang tidak kena yang berlaku dalam
pelaksanaan IMDB. dan sikap yang ditunjukkan oleh para pemimpin di
negara kita.
Tentulah aku agak
‘berdosa’ kepada diri aku, kepada pemikiran dan ‘pegangan aku’ sekiranya
aku masih mahu mengatakan bahawa IMDB itu tidak ada cacat celanya
sebagaimana yang sentiasa didendangkan oleh para pemimpin negara kita.
Dan yang merunsingkan aku juga ialah sampai bila agaknya para pemimin
negara dan pihak yang berkepentingan ini mahu terus berpaut kepada
‘benang basah’ mereka. Apakah mereka langsung tidak memikirkan tentang
nasib bangsa Malaysia pada masa yang akan datang. Apakah sudah begitu
rapat tertutupnya mata mereka sehingga mereka tidak nampak langsung
‘kecelaruan’ yang dialami oleh IMDB. Apakah telinga mereka sudah
benar-benar tertutup sehinggakan tidak mahu lagi mendengar
‘nasihat-nasihat’ dari luar yang bertujuan untuk membetulkan keadaan
yang pincang ini.
Rakyat Malaysia
sudah betul-betul bingung. Maksud aku rakyat yang boleh berfikir dengan
waras dan matang apabila melihatkan segolongan rakyat yang langsung
tidak mahu menerima dan mengakui kepincangan yang berlaku dalam negara
kini ekoran daripada peritiwa yang dicetuskan oleh IMDB ini. Rakyat kini
sudah bingung bukan sahaja dicetuskan oleh isu IMDB tetapi sudah
bingung disebabkan wujudnya rakyat Malaysia yang tidak peduli tentang
perkara buruk yang berlaku ke atas diri mereka dan negara tercinta.
Tersentak aku apabila ada yang mengatakan bahawa ada
kemungkinannya negara kita akan menjadi seperti negara Greece yang
bankrup disebabkan hutang yang berlipat ganda. Walaupun aku tidak yakin
yang negara Malaysia akan terjadi seperti negara Greece, namun apabila
dikenangkan dan difikirkan secara rasional, seluruh tubuh aku menjadi
‘seram-sejuk’ mengenankan yang negara kita juga berkemungkinan terjadi
sedemikian.
Yunani adalah sebuah
negara yang bangsanya terdiri dari cerdik pandai dunia. Dari Yunanilah
munculnya manusia seperti Plato, Aristotle dan munculnya gagasan-gagasan
dunia yang sehingga kini masih dipakai dan dipraktikkan. Ditilik
mengikut perkiraan yang biasa, tidak mungkin yang Greece terjadi muflis
dan menjadi bangsa yang meminta-minta untuk diselamatkan. Tetapi itulah
hakiktanya. Negara dan bangsa Greece menjadi bangsa yang terhina dalam
sekelip mata.
Aku tidak mahu
Malaysia menjadi sebuah negara seperti Greece. Aku tidak mahu bangsa aku
menjadi bangsa yang hilang maruah dirinya disebabkan oleh keadaan
‘papa-kedana’nya. Aku tidak mahu rakyat negara ini menjadi peminta
sedekah dan terpaksa berhijarh dan meminta-minta dari negara lain yang
maju. Aku tidak mahu anak cucu aku menjadi pengemis disebabkan oleh
kesilapan pemimpin yang terdahulu.
Sebenarnya bukan salah ibu yang mengandung, tetapi nasib badan yang tak
sedar untung. Bukan tidak dinasihatkan dan bukan tidak dikhabarkan
tentang buruk baiknya sesuatu tindakan. Namun disebabkan ketamakan dan
hanya mementingkan diri sendiri maka para pemimpin kita tersalah jalan
yang menyebabkan anak cucu yang menerima bebaban.
Apabila sampai masanya nanti, tidak perlu lagi kepada
tangisan untuk membetulkan keadaan ‘nasi yang sudah menjadi bubur’. Bak
kata datuk nenek kita bahawa air mata darah sekalipun tidak akan dapat
‘menjadikan bubur menjadi nasi semula’.
Kini kita hanya menunggu dan menanti tangisan rakyat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan